Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah meletak jawatan dan menangguhkan persempadanan semula sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk.

Gesaan itu dibuat selepas ahli-ahli parlimen HARAPAN di Kuala Lumpur mengemukakan surat bantahan kepada SPR Wilayah Persekutuan hari ini.

Diketuai pemangku Presiden DAP dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, mereka masing-masing mengemukakan surat bantahan dengan tandatangan pengundi kepada pegawai SPR.

Mereka termasuk Teresa Kok (DAP-Seputeh), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Chua Tian Chang (PKR- Batu), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju).

Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) tidak hadir, manakala Dr Hatta Ramli (AMANAH-Kuala Krai) yang merupakan pengerusi AMANAH Wilayah hadir walaupun parti itu tidak mempunyai kerusi di Kuala Lumpur.

Mereka juga memegang kain rentang yang menyatakan "Bantah cadangan persempadanan semula SPR Wilayah" dan pelekat seperti "SPR harus bebas", "Jangan jadi ejen Umno".

Sebanyak 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur. Titiwangsa dan Setiawangsa dimenangi Umno manakala Bandar Tun Razak dimenangi Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas ahli PKR.

Tan Kok Wai mendakwa proses persempadanan semula melanggar konsep "Satu orang, satu undi" dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, beliau berkata Mohd Hashim perlu berundur supaya imej SPR tidak tercemar.

"Keraguan rakyat terhadap SPR telah mencapai kemuncaknya. SPR akan memantau pilihan raya umum akan datang. Bagaimana seorang ketua tanpa integriti boleh membawa SPR untuk ini? Ini adalah satu isu yang serius," katanya.

[Baca berita penuh]