Terjemahan Kerajaan pusat memandang rendah dan menganaktiri serta mendiskriminasikan Pulau Pinang daripada arus pembangunan perdana sejak Dr Koh Tsu Koon menjadi ketua menteri sejak 15 tahun lalu.

Sewaktu pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan pusat telah mengenepikan Pulau Pinang dengan membelanjakan berbilion ringgit untuk memodenkan Pulau Langkawi sebagai destinasi utama pelancong ke negara ini.

Berikutan itu, Langkawi menerima jumlah pelancong dua kali ganda lebih ramai daripada purata 3.2 juta pelancong yang melawat Pulau Pinang setiap tahun.

Pada awal tahun 1990-an, kerajaan pusat merancang untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kuala Muda untuk menampung keperluan wilayah utara Semenanjung, dan menjejaskan kedudukan Lapangan Terbang Bayan Lepas di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, projek pembinaan lapangan terbang itu telah ditangguhkan.

Matlamat asal projek itu untuk memindahkan lapangan terbang antarabangsa dari Pulau Pinang ke Kedah, kata Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, jelas menunjukkan niat kerajaan pusat untuk menyekat negeri ini daripada menjadi pintu masuk ke wilayah utara.

"Jika tentu, tentulah kerajaan pusat tidak berhasrat untuk memindahkan lapangan terbang tersebut, sedangkan ia boleh menggunakan wang tersebut untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Bayan Lepas," katanya kepada malaysiakini.

Koh menggantikan Dr Lim Chong Eu yang melepaskan jawatan ketua menteri selepas beliau kalah kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam pilihanraya umum 1990.

Sejak itu, Pulau Pinang tidak memperolehi sebarang projek pembangunan utama dalam mana-mana sektor.

Pada suatu ketika dahulu, negeri itu menduduki tangga teratas, tetapi hari ia ketinggalan di belakang banyak negeri-negeri lain dalam bidang perindustrian, jalan, lapangan terbang dan pembangunan dalam bandaraya.

Pulau Pinang juga ketinggalan di belakang negeri-negeri lain dari segi pelaburan asing, kedatangan pelancong serta peluang perniagaan dan peluang pekerjaan.

"Kuasa membeli rakyat Pulau Pinang tidak kuat kerana kurangnnya perniagaan dan peluang pekerjaan," kata Cheah.

Keputusan mengecewakan

Keputusan kerajaan pusat di bawah pimpinan anak kelahiran Pulau Pinang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk tidak membina jambatan kedua dan membenarkan kenaikan kadar tambang feri, adalah merupakan rintangan terbaru yang dihadapi rakat negeri itu.

"Yang menakjubkan ialah kerajaan pimpinan Koh tidak menyedari mengenai keputusan kerajaan pusat berhubung pembinaan jambatan dan kenaikan tambang feri itu," katanya.

Menurut Cheah lagi, jika ianya benar, maka ini bermakna kerajaan pusat tidak menhormati dan memandang rendah terhadap kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Berkuatkuasa 1 Mei lalu, kadar tambang feri Pulau Pinang dinaikkan daripada 60 sen kepada RM1.20 sen bagi penumpang dan daripada RM7 kepada RM7.70 bagi kereta.

Menurut Cheah lagi, kenaikan 100 peratus tambang penumpang feri akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Walaupun harga tambang naik, beliau berkata, sejak 15 tahun lalu, kemudahan dalam feri, terutama di terminalnya, tidak pernah berubah. Beliau menyifatkannya sebagai "tidak adil".

Beliau mendakwa antara contoh diskriminasi kerajaan pusat ialah kegagalan kerajaan negeri memulihkan status George Town, dan status bebas cukai bagi pelabuhan Pulau Pinang.

"Jika Langkawi boleh menjadi pelabuhan bebas cukai, mengapa George Town tidak boleh menjadi sebuah bandaraya antarabangsa yang terkenal. Lagi pun, negeri ini pernah menjadi kawasan perdagangan bebas," tambahnya.

Semua itu, katanya, telah merencatkan pertumbuhan Pulau Pinang sebagai penjana sektor perindustrian di wilayah ini dan untuk mencapai status negeri maju.

Walaupun kerajaan pusat harus disalahkan kerana sikap diskriminasinya serta menganaktiri Pulau Pinang, terutama dalam pelaksanaan projek awam yang penting, tetapi kerajaan negeri juga tidak boleh lari daripada bertanggungjawab kerana membiarkan semua itu berlaku.

Cheah berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan negeri untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Pulau Pinang.

"Koh mesti mengenakan tekanan ke atas kerajaan pusat supaya membina jambatan kedua, memulihkan status George Town dan status pelabuhan bebas cukai," tegasnya..

Jika tidak , katanya, dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang, negeri ini dan rakyatnya akan jauh ketinggalan daripada sekarang.


ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.