Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima permohonan maaf akhbar Indonesia, Kompas , berhubung laporan tidak benar yang mengaitkan beliau dalam isu pergeselan kapal perang Indonesia dan Malaysia di Laut Sulawesi pada 15 April lalu.

"Saya terima dengan baik keputusan Kompas meminta maaf dari saya dan rakyat Malaysia. Ini kerana secara prinsipnya tindakan saya ini adalah lebih kepada kepentingan negara daripada kepentingan peribadi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Usahawan 2005 di Bangi.

Menurutnya, laporan Kompas itu yang menyebut kononnya beliau telah meminta maaf kepada Indonesia berhubung insiden berkenaan, lebih menyentuh maruah negara dan beliau tidak akan bertolak-ansur terhadap apa-apa isu yang boleh menyebabkan maruah negara terjejas.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan Kompas itu dan tidak bercadang mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berharap isu itu dan jalan penyelesaiannya akan menjadi satu contoh yang baik bagi kedua-dua negara dalam mengelak ketegangan di samping mencari jalan penyelesaian.

Ketua Pengarang Kompas , Suryopratomo membuat permohonan maaf itu dalam satu berita semalam di bawah tajuk `Kompas dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Sepakat Berdamai'.

Usaha hapus kemiskinan

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga petrol dan diesel, Najib berkata, pengurangan tanggungan subsidi ke atas kedua-dua bahan bakar tersebut membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan untuk membasmi kemiskinan dan usaha yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sebelum ini, katanya, kerajaan sebelum ini terpaksa menghadapi beban kewangan yang berat kerana menyediakan subsidi bahan api yang melonjak naik sejak kebelakangan ini kesan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia.

"Kita berpendapat jurang harga di pam dan di industri terlalu tinggi. Ini ditambah pula dengan mereka yang tidak berhak mendapat subsidi, ada yang sudah mewah tetapi dapat harga diesel 88 sen (harga lama) yang sangat murah seperti orang lain," katanya.

Mengenai cadangan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang menyeludup diesel, Najib berkata, ianya tidak perlu kerana terdapat banyak lagi saluran perundangan lain yang boleh digunakan terhadap pengkhianat ekonomi negara.

Kerajaan, katanya, sedang mengkaji beberapa tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.

Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan 10 sen bagi harga petrol dari RM1.42 seliter dan kenaikan 20 sen harga diesel dari 88 sen seliter.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan bagi mengumumkan kenaikan itu juga menyebut bahawa sekiranya harga runcit pada kadar asal diteruskan kerajaan, dijangka menanggung subsidi sehingga RM16.8 bilion RM8.96 tahun ini.