Syed Ali: Saya tidak bersalah, mengapa minta maaf?
Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Al-Habshee tetap dengan pendirian bahawa beliau tidak bersalah dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Disiplin Umno.
Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Al-Habshee tetap dengan pendirian bahawa beliau tidak bersalah dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Disiplin Umno.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar oleh lembaga tersebut kerana beliau didakwa mengkritiknya.
"Saya akan beritahu mereka (Lembaga Disiplin Umno) yang saya tidak bersalah, saya tidak akan meminta maaf kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Mengapa saya perlu memohon maaf sedangkan saya tidak melakukan kesalahan?
"Surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin Umno yang saya terima semalam mengatakan saya akan dikenakan tindakan disiplin jika tidak menjawabnya dalam tempoh 14 hari. Saya akan menjawabnya tetapi ia bukan surat memohon maaf," katanya.
Syed Ali yang juga Ketua Umno bahagian Cheras berkata, Lembaga Disiplin Umno mahu mengambil tindakan kerana beliau mengkritik dan mempertikaikan keputusan lembaga menggantung Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil.
Dakwaan berat sebelah
Syed Ali berkata, beliau akan menghantar surat jawapan kepada Lembaga Disiplin Umno selewat-lewatnya Isnin depan.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas laporan bahawa Lembaga Disiplin Umno telah meminta beliau dan Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim supaya memohon maaf secara terbuka kerana mengkritik lembaga itu dalam mengendalikan pemilihan parti itu tahun lalu.
Syed Ali dilaporkan telah menuduh Lembaga Disiplin Umno bersikap berat sebelah ketika mengumumkan hukuman penggantungan keahlian selama tiga tahun ke atas Shahrir.
Shahrir dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah mengikut Artikel 5 Kod Etika Pemilihan Umno kerana menaja majlis jamuan di rumahnya.
Manakala Zaid yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, yang turut didapati bersalah terbabit dalam politik wang, hanya diberi amaran.

