DAP cabar BN bukti keikhlasan bantah SPR
Untuk membuktikan kesungguhan, DAP mencabar BN membuat bantahan bersama terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.
Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata dakwaan bahawa parti pemerintah itu turut tidak berpuas hati dengan saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dibuktikan dengan tindakan.
Tambahan pula kata Ong tarikh akhir untuk mengemukakan bantahan kepada SPR ialah esok.
“Saya mencabar BN, terutamanya anggota parlimen. Kalau memang tak berpuas hati dengan persempadanan semula (oleh SPR), mereka sepatutnya bersama pembangkang menolak cadangan berkenaan di Dewan Rakyat apabila usul mengenainya ini dikemukakan,” katanya kepada media di Shah Alam hari ini.
Sebelum itu Ong bersama beberapa pimpinan DAP dan PKR menghantar 50 set bantahan kepada SPR Selangor.
Bantahan itu diserahkan kepada timbalan pengarahnya Kamarul Azman Ahmad Sabri.
Sebelum ini Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan persempadanan semula hanya akan memberi kelebihan kepada BN.
Sebaliknya katanya, ramai anggota parti itu tidak berpuas hati dan beliau telah menghantar surat kepada pejabat komponen BN bagi mengarahkan mereka membuat bantahan mengikut saluran yang betul.
Sementara itu Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata kenyataan Tengku Adnan itu hanyalah gimik BN.
“Saya rasa pihak mereka (BN) tidak perlu khuatir, mereka hanya buat gimik sahaja menunjukkan seolah-oleh mereka tidak setuju.
“Memang kita (pembangkang) besarkan perkara ini kerana ia (dilakukan) tidak mengikut lunas undang-undang dan dasar persempadanan semula,” katanya.
Pada pandangannya cadangan sempadan baru oleh SPR itu tidak adil, bersifat politik dan menyumbang kepada perpecahan kaum kawasan tertentu.
Kata Zuraida semua kawasan di Selangor akan terjejas dengan persempadanan semula itu jika ia diterima kelak.
ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar pula berkata apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya memfokuskan sesuatu kaum saja ia hanya mengubah landskap politik sekaligus tidak menggambarkan ‘satu Malaysia’.
Selain itu Jeyakumar khuatir sekiranya langkah SPR itu hanya mahu memecahkan kaum di negara ini dan menjuruskan kepada dasar ‘aparteid’ seperti di Afrika Selatan.
“Perkara ini sangat serius, ia hanya akan membawa kepada perpecahan kaum, negara kita adalah negara berbilang kaum sejak 59 tahun.
“Perkara ini akan menjurus kepada perpecahan aparteid seperti berlaku di Afrika Selatan dan saya sangat serius," katanya.
Hadir sama di sidang media itu tiga beberapa wakil rakyat termasuk Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Yaakob Sapari (Kota Anggerik), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Ong Kian Ming (MP Serdang), dan Ng Sze Han (Kinrara).

