'Nasrudin sudah deposit wang untuk bayar Lim'
Selepas berbalas hujah di media, anggota parlimen Temerloh yang Nasrudin Hassan sedang mengusahakan bayaran pampasan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Peguam Nasrudin, Wan Rohimi Wan Daud berkata Nasrudin telah pun mendepositkan sejumlah RM10,000 ke akaun pelanggan firma beliau semalam.
Justeru, kata Wan Rohimi, beliau akan mengemukakan bayaran kepada peguam Lim sebagaimana yang diarahkan.
“Maklumat pembayaran ini telah pun saya fakskan kepada peguam Lim Guan Eng lewat petang semalam,” katanya.
Isu bayaran pampasan itu timbul setelah Lim mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang baru yang sewajarnya kepada Nasrudin.
Pegawai khas undang-undangnya, Raja Syarafina Raja Shuib, berkata selepas sekurang-kurangnya selepas tiga minggu, Nasrudin masih gagal membayar kos pampasan, selepas menarik balik kenyataannya setelah disaman Lim.
Nasrudin yang juga ketua penerangan PAS pada 18 Januari lalu, menarik balik sebahagian kenyataannya pada 6 Ogos 2014 dan mengaku ia tiada asas.
Persetujuan bersama itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan Nasrudin diperintah membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada Lim.
Lim menyaman Nasrudin kerana mendakwa beliau menganugerahkan projek pembinaan terowong dasar laut RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd secara rundingan terus, walaupun Pakatan Rakyat menentang cara itu.
Nasrudin bagaimanapun menjelaskan beliau tiada dalam negara ketika tempoh bayaran berakhir dan berkata penghakiman materi hanya diserahkan pada peguamnya pada 19 September, selain notis tuntutan kos rasmi baru diterimanya kelmarin.
Nasrudin dan Raja Syarafina kemudian saling berbalas hujah di media, termasuk menghamburkan sindiran-sindiran pedas antara sama lain.
'Hanya sedikit lewat'
Sementara itu, dalam kenyataan pertamanya selepas pertelingkahan baru itu, Wan Rohimi berkata Isunya hanya sedikit kelewatan.
Bagaimanapun, katanya, serentak dengan penerimaan notis tuntutan kos 11 Oktober dan belum pun difailkan perlaksanaan, Raja Syarafina “atas arahan tuan politiknya” membuat siaran media menyerang Nasrudin.
“Kesimpulan akhir kepada siaran media Syarafina hanya mempunyai satu kesimpulan bahawa YB Nasrudin telah menghina mahkamah lantaran mengingkari perintah untuk membayar kos – lantas cuba menanam persepsi buruk terhadap YB Nasrudin.
“Inilah matlamat akhir siaran media Syarafina, seorang yang berpengalaman sebagai peguam litigasi sebelum menukar kerjaya berkhidmat sebagai pegawai khas undang-undang kepada ketua menteri Pulau Pinang,” katanya.
Nasrudin bagaimanapun berbeza pendapat. Katanya, jika tidak dibayar pun, ia tidak mengakibatkan penghinaan kepada mahkamah, sebaliknya hanya bersifat liabiliti sivil (hutang penghakiman) sebagaimana tuntutan hutang lain.
Sementara itu, Wan Rohimi juga mempertikai amalan guaman Raja Syarafina dengan mengetengkan tuntutan kos di media tanpa memfailkan prosiding perlaksanaan seperti sepatutnya.
“Namun motifnya mudah ditelah – dalam sudah keajukan, dangkal sudah keseberangan!” katanya.
Peguam: Dia tiada banglo jutaan ringgit
Beliau juga menjelaskan Nasrudin sebelum ini memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan RM10,000 itu dan kedudukan kewangannya tidak harus disamakan dengan Lim.
“Elaun sebagai ahli parlimennya sebahagian besar dilaburkan di medan siasah, mencari sekelumit syafaat jihad, buat bekalan bertemu tuhannya.
“YB Nasrudin hanya mampu mendiami rumah teres satu tingkat di tepi hutan, di pinggir bandar Kuantan. Itu pun hutang! Tiada banglo bernilai jutaan, tiada kolam renang, dan tiada kroni untuk menderma jutaan, dalam masa sejam!
“Justeru kelewatan seminggu seharusnya dimaafkan! Tiadalah perlu dikokok ke sekalian alam, melainkan tindakan Syarafina hanya menyerlahkan keterdesakan desperado, walau untuk apa pun tujuan, termasuk untuk memberikan (membayar) peguam!
“Janganlah disamakan pemilik bunglo jutaan walau tanpa kolam, dengan setinggan yang saban hari dihalau tiada berpulang!” katanya.
Lim sebelum ini didakwa di mahkamah susulan pembelian banglo bawah harga pasaran dan pengurniaan sebuah projek negeri.

