Terjemahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengarahkan supaya usul mengenai Burma ditarik balik daripada dibahaskan di Dewan Rakyat seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

Sebaliknya, perdana menteri hanya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz supaya menarik diri daripada kaukus Parlimen mengenai Burma dan menarik diri daripada turut membahaskan usul tersebut.

Ini kerana penyertaan Nazri dalam perbahasan usul itu boleh ditaksir sebagai mewakili pihak kerajaan menyokong usul mengenai Burma itu.

Nazri adalah pengasas penubuhan kaukus Parlimen tersebut dan merupakan seorang menteri kanan dalam kabinet Abdullah.

"Junta tentera Myanmar telah menuduh Malaysia melanggar prinsip tidak campurtangan Asean, dengan menyokong usaha ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk mendapatkan sokongan bagi menafikan hak Myanmar menjadi pengerusi Asean," kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang hari ini.

Myanmar adalah nama yang diberikan oleh junta tentera negara itu kepada Burma.

Menurutnya lagi, berikutan itu, Abdullah telah mengarahkan Nazri supaya menarik diri daripada menganggotai kaukus Parlimen tersebut.

"Ini telah dijelaskan sepenuhnya oleh Nazri di Dewan Rakyat pada 27 April," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Sebelum penjelasan itu dibuat, malaysiakini dan beberapa media lain, telah melaporkan bahawa usul mengenai Burma itu telah ditarik balik atas arahan Abdullah. Malaysiakini telahpun menyiarkan pembetulan terhadap laporan awal tersebut.

Bumbung bocor

Lim juga berkata, Nazri telah menjelaskan kepada Dewan Rakyat, walaupun kerajaan tidak boleh dilihat menyokong usul tersebut, tetapi ia tidak akan menghalang ahli Parlimen membahaskan perkara itu jika segala urusan kerajaan pada hari berkenaan, telah selesai dan masih ada masa untuk berbuat demikian.

"Dalam keadaan tersebut (Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan) Datuk Shahrir Samad dan saya telah mengaturkan, dengan sokongan ahli-ahli Parlimen kedua belah, tanpa membabitkan mana-mana menteri kerajaan...untuk memberi masa bagi perbahasan tersebut, dengan memastikan semua urusan kerajaan dapat diselesaikan sebelum penangguhan sidang," katanya.

Menurut Lim lagi, ia bagaimanapun tidak menjadi menjadi kenyataan berikutan kejadian kebocoran bumbung bangunan Parlimen pada hari berkenaan, menyebabkan persidangan ditangguhkan.

Kini, katanya, kaukus Parlimen tersebut perlu memikirkan langkah seterusnya berhubung usul tersebut dalam sesi persidangan Jun ini.

Fasa baru kempen

Sementara itu, katanya, mesyuarat akan datang Kaukus Antara Parlimen Asean mengenai Myanmar (AIPMC) di Singapura pada 2 Jun depan, amat penting untuk menyusun strategi bagi melancarkan kempen fasa baru supaya Burma tidak menjadi pengerusi Asean pada 2006 kecuali kerajaannya menghidupkan semula amalan demokrasi, memperbaiki rekodnya mengenai hak asasi manusia serta membebaskan pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Katanya, semua negara Asean mesti menyedari risiko dianggap sebagai sebuah pertubuhan 'penyangak' jika mereka membenarkan negara seperti Mynmar memegang jawatan pengerusi Asean.

Burma bersedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi Asean daripada Malaysia pada Jun 2006 tetapi menghadapi tekanan dari banyak negara Asean, Amerika Syarikat dan Masyarakat Eropah supaya menolaknya kerana kerajaannya melanggar amalan demokrasi di negara tersebut.