Terjemahan Krisis bekalan diesel minggu lagi 'dirancang' untuk dijadikan alasan kukuh bagi menaikkan harga bahan tersebut, demikian dakwa seorang pemimpin parti pembangkang hari ini.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika ditemui sewaktu berlangsungnya bantahan terhadap kenaikan harga petrol dan diesel di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 20 orang yang membawa spanduk yang berbunyi 'Kenaikan harga petrol menyebakan inflasi berlarutan' dalam demonstrasi selama 30 minit mulai kira-kira jam 2 petang.

"Kerajaan menyalahkan penyeludup dan mengancam untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka, nampaknya ia sengaja dibuat untuk memburukkan keadaan," kata Tian Chua.

Beliau menuduh kerajaan 'membiarkan' berlakunya kegiatan penyeludupan yang mengakibatkan berlakunya krisis bekalan diesel supaya kabinet dapat menaikkan harga bahan bakar tersebut.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, negara menghadapi kekurangan bekalan diesel yang amat meruncing, sehingga menjejaskan perkhidmatan banyak syarikat lori dan bas. Kerajaan telah menyalahkan penyeludup yang menjual diesel yang diberi subsidi, kepada pihak industri.

Kesulitan ekonomi

Menurut Tian Chua lagi, kenaikan harga itu mendedahkan bahawa kerajaan tidak berkesan dalam mengendalikan ekonomi negara.

"Kerajaan bukan sahaja gagal menguruskan ekonomi dengan sempuna, tetapi juga tidak mengendahkan kebajikan rakyat. Kenaikan harga ini pastinya membebankan rakyat," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kenaikan harga itu boleh menyebabkan berlakunya inflasi dan kos sarahidup melonjak.

"Keadaan ekonomi yang sudah rapuh itu akan runtuh kerana inflasi," katanya.

Harga petrol dan diesel masing-masing dinaikan 10 dan 20 sen selitar berkuatkuasa hari ini berikutan kenyataan yan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri malam tadi.

Kerajaan memberi alasan, jika harga tidak dinaikkan tahun ini, ia terpaksa menanggung beban subsidi RM8.96 bilion, di samping kehilangan RM7.85 bilion melalui pengecualian cukai. Ini akan mengakibatkan kerajaan kerugian RM16.8 bilion. Tahun lalu, kerajaan memberi subsidi sebanyak RM4.8 bilion untuk produk petroleum.

Tahun lalu, harga petrol dinaikkan dua kali 2 sen pada 1 Mei dan 5 sen pada 1 Oktober. Sebelum ini, harga petrol dinaikkan sebanyak 1 sen pada 1 November 2002 manakala harga diesel naik 2 sen.

Sementara itu, Tian Chua berkata PKR akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang untuk menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan kepada rakyat sebab sebenar harga bahan itu dinaikkan dan kesannya kepada kehidupan harian mereka.