Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'wak kenal pasti 10 sungai lubuk buaya ganas
Diterbitkan:  Oct 13, 2016 6:18 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Sarawak mengenal pasti 10 sungai yang mempunyai kepadatan tinggi populasi buaya hingga menyebabkan kejadian serangan buaya sering berlaku di negeri itu.

Sungai berkenaan ialah Sungai Batang Sadong, Sungai Tuang, Sungai Batang Kerian, Sungai Seblak, Sungai Linga, Sungai Sebuyau, Sungai Batang Lupar, Sungai Batang Saribas, Sungai Batang Baram dan Sungai Bakong.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Ahmad Sapuan berkata berdasarkan rekod terkini dari Januari hingga September tahun ini, sebanyak lapan serangan buaya dengan tiga kematian dilaporkan di Sarawak.

"Pada 2015, sebanyak 13 kes serangan buaya dilaporkan dengan lapan kematian,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pengusaha sarang burung walit Miri serta agensi dan jabatan berkaitan dengan industri itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian terperinci mengesan 2,236 ekor buaya di 45 sungai sepanjang 2,108.3 kilometer di Sarawak.

Mengenai dialog bersama dengan pengusaha sarang burung walit, Ahmad berkata ia bagi menjelaskan kekeliruan bayaran levi RM50 yang dikenakan untuk industri itu.

"Banyak kekeliruan berlaku mengenai kadar levi itu, kadar yang dikenakan ialah RM50 bagi sekilogram jika sarang burung adalah untuk dieksport dari Sarawak," katanya.

Jika beratnya kurang dari satu kilogram, kadar levi yang dikenakan ialah RM5 bagi setiap 100 gram, katanya sambil menafikan dakwaan levi RM50 masih dikenakan walaupun berat sarang burung kurang dari satu kilogram.

Beliau memberitahu bahawa tempoh levi itu adalah bagi enam bulan dan dibayar kepada Jabatan Perhutanan Sarawak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS