Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tiga kesatuan sekerja yang bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi mendapatkan perisytiharan bahawa pemegang jawatan dalam MTUC pada mesyuarat perwakilannya yang lalu, tidak sah dan batal.

Menurut laporan Bernama, Hakim Md Raus Sharif menetapkan 13 Jun untuk mendengar permohonan itu.

Raus memberi penghakiman itu ketika menolak permohonan defendan bagi mengetepikan saman pemula yang difailkan terhadap mereka oleh tiga kesatuan sekerja gabungan berkenaan.

Defendan yang terdiri daripada presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud, setiausahanya G.Rajasekaran dan setiausaha kewangan kongres itu, A Sivananthan, memohon saman pemula yang difailkan terhadap mereka diketepikan berdasarkan tiga bantahan awal.

Hujah yang terkandung dalam bantahan awal mereka ialah mahkamah terbabit tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah yang dipohon oleh tiga kesatuan sekerja berkenaan, kesilapan dalam membawa pihak yang sewajarnya ke mahkamah dan pegawai kesatuan sekerja berkenaan tidak mempunyai "locus standi" untuk memfailkan permohonan itu.

Dalam keputusannya, Raus berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah yang dipohon oleh plaintif Kesatuan Sekerja Kakitangan Malaysian Airline System Semenanjung Malaysia (Maeu), setiausaha eksekutifnya Mustafar Maarof; Kesatuan Sekerja Pekerja Industri Minuman (UBIW), setiausaha agungnya Awang Ibrahim; dan Kesatuan Sekerja Pegawai Rendah Tenaga Nasional Berhad dan presidennya Raja Hang Tuah Raja Iskandar.

Katanya, terdapat satu seksyen dalam Akta Pertubuhan 1966 yang tidak mengetepikan bidangkuasa mahkamah ini dan seksyen ini juga tidak menyebut bahawa keputusan mengenai sesuatu pertikaian patut ditentukan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Didengar secara bersama

Dalam permohonan mereka, defendan berhujah bahawa berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Pertubuhan, orang yang wajar membuat keputusan mengenai perkara tersebut ialah Pendaftar Pertubuhan atau menteri.

Raus berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah defendan bahawa plaintif kedua dalam saman berkenaan (Mustafar Maarof, Awang Ibrahim dan Raja Hang Tuah Raja Iskandar), tidak mempunyai 'locus standi' untuk mengambil tindakan itu.

Hakim itu juga berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah defendan bahawa plaintif telah menyaman orang yang tidak berkenaan dalam kes itu.

Walaupun permohonan itu difail secara berasingan oleh plaintif, namun mahkamah mengarahkannya didengar secara bersama.

Plaintif memohon perisytiharan bahwa keputusan pemilihan pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali MTUC adalah tidak sah dan batal.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan MTUC membenarkan 27 anggota perwakilan yang dianggap mewakili Kesatuan Sekerja Pekerja Bank mengambil bahagian dan mengundi pada persidangan perwakilan berkenaan pada 29 dan 30 Disember tahun lalu, adalah tidak sah dan batal.

Pada pemilihan tersebut, Mustafar dan Awang kalah dalam pertandingan bagi jawatan naib presiden dan setiausaha kewangan kesataun sekerja itu.