Pemberhentian sementara ujian di Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang hanyalah yang bertujuan untuk proses pembelajaran, manakala bagi rawatan kecemasan ia masih berterusan seperti biasa, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan.

"Ada ketikanya kita kena kurangkan sesetengah ujian, ada ujian itu lebih kepada proses pembelajaran, untuk pengetahuan dan mengajar sebagainya, ada ujian tu yang betul-betul kritikal untuk nak dapatkan diagnosis dan rawat pesakit.

"Jadi sekarang kita fokus untuk rawatan pesakit dan sementara tunggu peruntukan sampai," kata Zailan yang dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Zailan berkata Kementerian Kesihatan sudahpun memberikan peruntukan tambahan kepada HTAR.

"Kementerian dah bagi peruntukan tambahan dan untuk keperluan kecemasan kita tak ada masalah dan peruntukan itu cukuplah untuk kita sehingga hujung tahun. Peruntukan dah sampai dah tak ada masalahlah," kata Zailan.

Namun, Zailan menegaskan mereka tetap perlu berhemah dalam membelanjakan peruntukan sedia ada berdasarkan keperluan semasa, sekaligus menyelaraskannya.

"Kita berurusan dengan pengunjung yang jumlahnya besar dan kadang-kadang ada tahun-tahun yang macam sekarang ini berlaku peningkatan pengunjung sedangkan semasa kita buat anggaran bajet sebelum ini, kita tak mengambil kira peningkatan yang berlaku.

"Selangor ini kemudahannya banyak tetapi kadang-kadang ada tempat yang lebih dan ada tempat yang keperluan itu kurang, kita kena selaraskanlah," kata Zailan.

Malaysiakini sebelum ini mendapat makluman bahawa HTAR terpaksa memberhentikan sementara ujian di Jabatan Patologi hospital itu ekoran masalah kewangan yang serius bagi pembelian reagen.

Menurut surat edaran yang dikongsi di media sosial, tanpa peruntukan tambahan, Jabatan Patologi terpaksa memberhentikan beberapa ujian di dalam masa terdekat.

Mengulas perkara itu, Zailan berkata, surat edaran terbabit tidak perlu diviralkan.

Kata Zailan, ini kerana surat makluman sedemikian biasa dikeluarkan pihak hospital sebagai langkah kawalan dan penggunaan secara berhemah bagi setiap rawatan yang ingin dijalankan.

"Surat makluman itu tak seharusnya diviralkan sebab biasa kita keluarkan surat-surat sebegitu. Kalau dulu kita mewah sangat, nak cepat tempah semua tetapi sekarang ini kita kena berhemahlah dalam berbelanja.

"Ada ketikanya pegawai ini bila kita kata kurangkan ujian, mereka tak faham sehingga ada masanya mereka akan terus menghentikannya, tetapi untuk rawatan kecemasan kita masih teruskan," kata Zailan.

Tambah Zailan, tidak semua jenis rawatan memerlukan pesakit menjalini ujian di jabatan patologi.

"Diagnosis itu bukan kita kena buat untuk semua ujian, kita akan mulakan dengan ambil sejarah pesakit dulu, kemudian kita senaraikan apa kemungkinan penyakit mereka," tambah Zailan.