Suruhanjaya Syarikat serbu NGO Rafizi
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW) di ibu negara pagi ini.
Dua pegawai kanannya Mohd Rafizi Ramli Dan Akmal Nasir berkata, suruhanjaya itu mahu memeriksa keseluruhan rekod kewangan NOW.
Menurut mereka, alasan diberikan memastikan NOW mematuhi Seksyen 167 Akta Syarikat yang mewajibkan sesebuah syarikat dan pegawai, termasuk pengarah, menyimpan rekod kewangan terperinci sehingga 7 tahun.
Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau menasihatkan NOW supaya menunggu notis bertulis diberikan dan tidak memberikan sebarang akses kepada maklumat mereka buat masa ini.
“Sebagai pengasas NOW yang telah masak dengan pelbagai cubaan menakutkan kami, saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.
“Sebaik sahaja notis bertulis itu dikeluarkan mengikut undang-undang, saya akan menasihatkan NOW untuk menyerahkan semua maklumat kewangan bagi tujuan Seksyen 167 Akta Syarikat kepada SSM.”
Rafizi juga berkata, jika notis bertulis itu menyenaraikan maklumat yang tiada kena mengena dengan keperluan siasatannya, mereka akan berunding dengan peguam untuk mencabarnya.

