Mahkamah tolak permohonan Anwar cabar Akta MKN
Ketua Umum PKR, Dartuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam usahanya untuk mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang didakwa sebagai tidak berperlembagaan.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk mencabar penangguhan sementara pelaksanaan undang-undang kontroversi itu.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili kerajaan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan MKN sebagai tidak mengikut perlembagaan kerana kebenaran terpaksa diperolehi daripada Mahkamah Persekutuan.
Peguam Anwar, N Surendran dan Latheefa Koya berhujah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa kerana Perlembagaan Persekutuan adalah yang tertinggi mengikut Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang tidak selaras dengannya harus diisytiharkan terbatal dan tidak sah.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang yang mewakili pihak kerajaan berkata, kebenaran mesti diberikan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan seumpama itu berdasarkan Perkara 4 (3) (4 ) kerana ia melibatkan kompetensi pembuat dasar untuk membuat undang-undang.
Adalah dilaporkan dua bulan lalu, Anwar memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan Akta MKN sebagai tidak berperlembagaan.

