Hari MITI 2016 tawar 3,000 peluang kerja
Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan pada Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2016 yang julung kali diadakan di Menara MITI di ibunegara pada Isnin ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata acara yang akan dirasmikan oleh Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan disertai 60 syarikat termasuk firma antarabangsa.
"Jawatan yang ditawarkan itu merangkumi eksekutif serta peringkat lebih rendah. Malah antara syarikat yang sudah mengesahkan penyertaan mereka adalah Coca-Cola, Honda, Hong Leong Yamaha, Silterra serta Sony.
"Para siswazah termasuk lulusan institusi latihan teknikal dan vokasional dipelawa hadir dan membawa bersama dokumen penting bagi temu duga di acara berkenaan," katanya dalam sidang media mengenai Hari MITI 2016 itu di ibunegara hari ini.
Program lain yang disenaraikan termasuk Pameran MITI dan agensinya, tanggungjawab sosial korporat, Pertunjukan Automotif MITI dan Penjagaan Kereta, sesi perbincangan 'Pocket Talk' serta InvestSmart@MITI.
Ahmad berkata acara yang menyasarkan penyertaan 10,000 pengunjung, juga menjadi platform merapatkan kementerian serta agensinya dengan pihak berkepentingan menerusi paparan kepentingan perkhidmatan mereka.
"MITI sudah lama membantu dalam usaha mewujudkan pekerjaan dan peluang perniagaan. Namun orang lebih mengenali MITI dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau saham serta bidang kuasa meluluskan permit semata-mata.
"Sehubungan itu, Hari MITI 2016 ini dijangka dapat menyemai pemahaman lebih mendalam terhadap peranan dan fungsi (kementerian dan agensinya) serta mengurangkan jurang antara agensi kerajaan serta orang ramai, sejajar pendirian kerajaan yang berpaksikan rakyat," katanya.
Acara itu akan bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan program sampingan yang dirancang termasuk pameran produk perusahaan kecil dan sederhana, e-dagang, trak makanan serta cabutan bertuah dengan hadiah utama seperti Perodua Bezza dan motosikal Modenas.
Menurut Ahmad, perkhidmatan pengangkutan bas percuma turut disediakan dari Kuala Lumpur Sentral ke Menara MITI selain kemudahan tempat letak kereta di Menara MITI mahupun bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
- Bernama

