Pulau Pinang kemuka bantahan
Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini menghantar surat bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri berhubung kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata bagaimanapun wakil rakyat PKR di negeri itu tidak mengemukakan bantahan berhubung perkara itu.
PKR menguasai tiga kawasan Parlimen dan 10 kawasan Dewan Undangan Negeri di negeri ini dan difahamkan kesemua kawasan itu tidak terjejas dengan cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu.
"Saya dimaklumkan wakil rakyat PKR tidak mengemukakan bantahan... saya tidak diberitahu mengapa mereka (PKR) tidak membuat bantahan tetapi saya yakin mereka akan mengumumkan sebab tindakan mereka dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya borang bantahan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya itu dibuat menerusi saluran kerajaan negeri dengan disokong oleh beberapa anggota Parlimen dan ADUN.
Lim berkata mesyuarat Exco negeri turut melantik tiga wakil rakyat sebagai jawatankuasa penyelaras iaitu anggota Parlimen (MP) Tanjong Ng Wei Aik, MP Bukit Mertajam Steven Sim dan MP Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa bagi membantu kerajaan negeri mengkaji kajian persempadanan semula itu.
Bulan lalu, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.
Hari ini 14 Oktober adalah hari terakhir yang diberikan oleh SPR untuk semua pihak untuk memgemukakan bantahan masing-masing.
Manakala Kerajaan Selangor mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada SPR Selangor semalam.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bantahan itu diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Shuhaimi Shafiei di pejabat SPR Selangor.
"Bantahan itu dilakukan bagi mempertahan hak demokrasi pengundi Selangor berdasarkan kuasa Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II, Seksyen 5," katanya dalam kenyataan semalam.
Antara bantahan yang dikemukana kerajaan Selangor adalah syor persempadanan semula SPR tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, kegagalan keadilan asasi, kegagalan memberikan maklumat penuh yang diperlukan, dan masa tidak mencukupi bagi kerajaan negeri untuk mengkaji impak hasil daripada persempadanan semula.
Mohamed Azmin turut menggesa SPR meneliti semua bantahan yang diterimanya bagi memastikan integriti suruhanjaya itu terjamin dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama

