Kit Siang: Tiada perubahan radikal di bawah pentadbiran Pak Lah
Terjemahan Selepas meneliti ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai tempoh 18 bulan pentadbirannya, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri telah menjadi 'tahanan' dalam sistem politik sekarang yang tidak mampu melakukan sebarang perubahan radikal yang memberi kesan yang besar.
Terjemahan Selepas meneliti ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai tempoh 18 bulan pentadbirannya, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri telah menjadi 'tahanan' dalam sistem politik sekarang yang tidak mampu melakukan sebarang perubahan radikal yang memberi kesan yang besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ucapan Abdullah malam tadi seperti dihantui rasa tidak senang mengenai pentadbirannya yang berniat baik tetapi tidak disokong dengan tindakan.
Lim juga mengkritik kenyataan perdana menteri bahawa wujud rasa tidak puashati terhadap pentadbirannya tetapi ianya hanya membabit 'beberapa anggota masyarakat dan penganalisis asing'.
Sebaliknya, Lim mendakwa, rasa tidak puashati itu adalah meluas dan telah menjadi pandangan ramai rakyat negara ini.
Sewaktu berucap di majlis makan malam Kelab Harvard Malaysia di Kuala Lumpur semalam, Abdullah berkata negara sebenarnya telah mencapai banyak kejayaan sejak satu setengah tahun ini.
Menurut Abdullah, beliau komited dalam merealisasikan janji-janji yang dinyatakan dalam manifesto Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum Mac lalu.
"Ia adalah janji ikhlas, yang bukan dibuat dalam bahang kehangatan pilihan raya semata-mata, tapi dibuat selepas dikaji sedalam-dalamnya tentang apa yang perlu dilakukan untuk Malaysia," katanya kepada para hadirian di majlis tersebut.
Ucapan tidak meyakinkan
Walaupun sebuah akhbar harian menyifatkan ucapan Abdullah itu sebagai salah satu ucapan terpentingnya sejak menerajui negara, tetapi Lim menganggap sebaliknya.
Sementara itu, Lim berkata, perdana menteri juga bercakap mengenai 'ruang yang luas untuk bersuara dalam akhbar dan masyarakat sivil' tetapi sebenarnya, tidak banyak perubahan mengenai kebebasan akhbar di bawah pentadbirannya.
Lim berkata, Indek Kebebasan Akhbar Dunia Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) 2004, telah meletakkan Malaysia di tangga 122 daripada 167 negara jatuh 18 anak tangga daripada kedudukan tahun sebelumnya.
Beliau juga menegaskan bahawa badan pemikir Freedom House yang berpejabat di Bandaraya New York juga telah meletakkan Malaysia di tangga 152 daripada 194 negara dalam Ranking Kebebasan Akhbar Global bagi tahun ini.
Menurutnya, walaupun perdana menteri merujuk kepada penubuhan suruhanjaya diraja untuk mengumpul aduan dan cadangan untuk memperbaiki pasukan polis, tetapi kerajaan telah gagal untuk mengumumkan laporan penuh suruhanjaya itu, yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Abdullah minggu lalu.
Mengenai rasuah, ketua pembangkang itu berkata, kenyataan perdana menteri bahawa jumlah tangkap berkaitan rasuah pada tahun 2004 telah meningkat berbanding tahun sebelumnya, juga tidak meyakinkan memandangkan kedudukan corot Malaysia dalam Indek Persepsi Rasuah Transparency International.
Katanya lagi, tidak ada bukti bahawa wujud kekuatan politik untuk membanteraskan rasuah, terutama di kalangan golongan yang berkuasa dan berkedudukan tinggi.

