Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai hari ini membisu untuk menyatakan sama ada Umno perlu mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang didakwa terlibat dalam insiden serangan berterusan terhadap konvoi BERSIH 5 di seluruh negara.

"Saya telah nyatakan kedudukan dengan jelas mengenai perkara ini ...," ujar Liow dalam sidang akhbar di Wisma MCA di Kuala Lumpur selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Wanita MCA Selangor tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penglibatan pemimpin Pemuda Umno dalam kejadian terbaru di pasar raya Giant di Kuala Selangor semalam yang menyaksikan beberapa wartawan diganggu dan diancam ketika bertugas.

Seorang jurugambar Malaysiakini ditumbuk di bahu dan diganggu dengan kata-kata menghina 'Cina babi manakala seorang wartawan The Star terpaksa memadam rakaman yang dibuat dalam telefon mudah alih.

Pada mulanya ia dianggap hanya gangguan biasa tetapi keadaan mula berubah apabila exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah tiba.

Armand dan penyokong BERSIH dilihat berjabat tangan dan berpelukan tetapi individu di sebelahnya tiba-tiba mula memprovokasi penyokong BERSIH.

"Jangan ganggu penduduk Tanjung Karang!" lelaki yang berpakaian T-shirt putih dengan tertera perkataan 'Hari Sukan Negara' itu menjerit.

Keadaan menjadi lebih kecoh apabila lelaki itu menjerit supaya tidak merakam sebarang gambar.

Pergerakan baju merah diketuai oleh Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. Beberapa pemimpin Pemuda Umno turut hadir semasa konfrontasi di Kuala Selangor itu.

[Baca berita penuh]