‘Daripada potong gaji, lebih baik kurangkan saiz kabinet’
Bukan sekadar menurunkan gaji menteri, seorang ahli ekonomi mencadangkan saiz keseluruhan kerajaan, termasuk kakitangan jemaah menteri dikurangkan bagi menurunkan kos operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau bersetuju pada dasarnya bahawa gaji menteri patut dikurangkan, memandangkan iklim ekonomi semasa.
"Saya rasa perkara paling penting daripada cadangan ahli ekonomi itu adalah supaya menteri-menteri menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka turut berkongsi masalah rakyat.
"Saya secara umumnya bersetuju dengan prinsip itu tetapi cara saya adalah lebih fleksibel daripada hanya pemotongan gaji," kata Wan Saiful memberitahu Malaysiakini.
Antara lain, katanya adalah mengurangkan cukai pendapatan dan GST sebagai cara alternatif untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan rakyat.
"Ini (mengurangkan cukai) akan memberi kesan paling langsung.
"Atau cara lain adalah mengurangkan saiz keseluruhan kerajaan dan mengurangkan kos operasi," katanya ketika diminta mengulas cadangan ahli ekonomi, Muhammed Abdul Khalid dalam sebuah forum di Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata desakan supaya gaji lebih tinggi secara keseluruhan tidak akan membantu pada ketika yang mencabar semasa kerana seseorang akan terpaksa membayar untuk kos tambahan berkenaan.
"Kerajaan perlu mendapatkan wang tambahan, biasanya ini dengan menaikkan cukai. Semua orang kemudiannya akan menjadi lebih teruk.
"Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengurangkan saiz kerajaan dan mengurangkan kos operasi secara keseluruhan," katanya.
Selepas tiga rombakan, kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal terbesar dalam sejarah Malaysia. Ia dianggotai 35 menteri dan 33 timbalan menteri.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Pusat Memerangi Kronisme dan Rasuah (C4), Cynthia Gabriel, berkata sudah sampai masanya bagi menteri-menteri berkongsi nasib rakyat.
"Saya rasa ini adalah satu cadangan yang bernas. Sudah sampai masa, mereka juga merasai kesusahan rakyat, kerana kos segala-galanya sudah naik," katanya ketika dihubungi.

