Terjemahan Malaysia sedang menimbang cadangan pembelian peralatan senjata bernilai RM3.8 bilion melalui pinjaman yang memerlukan simpanan emas negara dijadikan jaminan untuk membantu membiayai pembelian kapal perang dan peralatan pertahanan, demikian menurut satu laporan hari ini.

Melalui cadangan tersebut, syarikat kontraktor pertahanan British, BAE System

PLC akan menguruskan pinjaman tersebut yang dijamin dengan sijil emas yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia, demikian menurut laporan Asian Wall Street Journal, yang memetik mereka yang mengetahui tentang rancangan tersebut.

Aspek lain dalam cadangan yang diusahakan oleh BAE itu seperti tempoh pinjaman dan butir-butir terperinci mengenai senjata yang mahu dibelikan oleh Malaysia bagaimanapun belum dimuktamadkan, katanya.

Seorang pembantu kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Pertahanan, berkata ia adalah"cadangan yang dikemukakan oleh BAE dan sedang diteliti" oleh pihak kerajaan, kata laporan itu lagi.

"Tidak ada keputusan yang telah dibuat dan apa juga pembelian senjata pertahanan (oleh Malaysia) akan mengambil kira kedudukan kewangan kita," kata pembantu Najib itu yang dipetik dalam laporan tersebut.

Seorang jurucakap BAE Systems di London pula mengesahkan yang syarikatnya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia berhubung keperluan pertahanan negara inil, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya ataupun mengenai cadangan pembiayaan pembelian senjata tersebut, lapor akhbar berkenaan.

Pembelian senjata baru

Malaysia, yang sebelum ini mengumumkan rancangannya untuk meningkatkan kemampuan persenjataannya secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, telah memperuntukkan tambahan RM1.609 bilion bagi tahun 2004 untuk pembelian senjata, termasuk kapal selam, kereta kebal dan helekopter.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, sebahagian besarnya RM731.1 juta akan diperuntukkan untuk menaiktaraf kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pembelian kapal selam Scorpene, Fennec dan helekopter Super Lynx serta kapal peronda baru.

Manakala RM523.6 lagi diperuntukkan untuk tentera darat yang akan membeli

kereta kebal penggempur serta sistem pertahanan udara, kata Najib.

Malaysia telah mengumumkan perjanjian untuk membeli jet pejuang Russia, kapal selam dari Perancis dan sistem peluru berpandu Russia dan kereta kebal penggempur dari Poland.

Langkah untuk meningkatkan kemampuan TLDM dibuat berikutan meningkatnya kebimbangan terhadap ancaman keganasan di Selat Melaka, yang merupakan satu satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang digunakan oleh 50,000 kapal setahun.

Selat tersebut, yang menjadi tempat kegiatan lanun sejak zaman dahulu hinggalah ke hari ini, menampung satu pertiga daripada perdagangan dunia dan menjadi laluan penghantaran sebahagian besar bekalan minyak yang diperlukan oleh Jepun, Korea Selatan dan China.

Malaysia juga telah menafikan bahawa peningkatan pemilikan senjata itu boleh mencetuskan perlumbaan senjata di rantau ini, dengan menegaskan bahawa pembelian itu hanya bertujuan untuk meningkatkan kemampuan pertahanannya dan bukan untuk menceroboh.

- AFP