Terjemahan Kerana tidak puashati dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu bahawa kos RM99 juta yang dibelanjakan untuk mengubahsuai bangunan Parlimen tahun lalu adalah tidak mahal, Ketua Pembangkan Lim Kit Siang telah membuat laporan mengenainya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Bagaimanapun, Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata, beliau terikat dengan undang-undang dan oleh itu, tidak boleh mendedahkan butir-butir laporannya yang dibuat di ibu pejabat BPR di Puterajaya.

"Walaupun saya tidak boleh menyebut sepatah pun mengenai laporan saya, tetapi saya ingin menjawab apa yang disiarkan dalam akhbar hari ini, terutama mengenai dakwaan tidak munasabah menteri kerjaraya bahawa RM99 juta untuk kos pengubahsuaian itu adalah tidak tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, Samy Vellu telah memperolok-olokkan arahan perdana menteri kepada Jabatan Kerjaraya supaya mengurangkan projek-projek mewah yang tidak memberi faedah kepada rakyat.

Pengubahsuaian satu pembaziran

Walaupun beliau maklum bahawa perlunya Parlimen, yang dibina pada tahun 1963 itu, diubahsuai bagi menampung jumlah wakil rakyat yang semakin ramai, tetapi Lim bagaimanapun berkata, kos RM85 juta (pada awalnya) telah menjadi satu simbol bagaimana wang rakyat tidak harus dibazirkan.

Beliau berkata, sekiranya pengubahsuaian sebanyak RM85 juta perlu 'melalui ujian' sama ada ia memberi faedah kepada ahli parlimen atau tidak, maka ia adalah satu kegagalan besar.

"Kini RM14 juta lagi diminta untuk kerja pengubahsuaian, menjadikan jumlah kos keseluruhannya sebanyak RM99 juta," katanya.

Lim berkata, jika Samy Vellu mahu menyahut seruan perdana menteri supaya dihentikan projek-projek mewah 'gajah putih', maka beliau perlu memastikan ciri-ciri yang membazir dalam kerja pengubahsuaian yang menelan belanja RM99 juta itu diketepikan bagi memaksimakan fungsi dan kebergunaannya.

Sepatutnya, kata beliau, keseluruhan pelan bangunan Parlimen, serta butiran terperincinya, termasuk kos berasingannya, dikemukakan kepada ahli Parlimen dan pihak awam bagi menegakkan prinsip keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti.

PAC mesti menyiasat

Lim juga menggesa Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) supaya mengadakan mesyuarat tergempar untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kerja pengubahsuaian yang begitu mahal.

Katanya, menteri kerjaraya juga tidak seharusnya menjadikan laporan yang dibuatnya kepada BPR hari ini, sebagai alasan untuk mengelak daripada menjelaskan isu tersebut.

Lim juga mengecam penjelasan Samy Vellu berhubung kenaikan kos pengubahsuaian tersebut.

Dalam penjelasannya, menteri itu berkata, kos asalnya ialah RM49 juta tetapi Parlimen telah meminta tambahan RM36 juta, yang telah diluluskan.

Menurutnya, sehingga ini kerja-kerja yang membabitkan kos RM75 juta telah disiapkan dan RM60 juta telah dibayar kepada kontraktor berkenaan.

Lim yang tidak puashati dengan penjelasan itu berkata walaupun Samy Vellu asyik mengatakan Parlimen yang menaikkannya dari RM49 juta kepada RM85 juta, dan sekarang RM99 juta, tetapi tidak siapa pun di Parlimen yang mengetahui mengenai permintaan atau jumlah tersebut.

"Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib, contohnya, menyatakan Sabtu lalu bahawa kos pengubahsuaian itu ialah RM60 juta dan bukannya RM80 juta manakala anggota Jawatankuasa Dewan Rakyat, yang berjumpa untuk pertamakalinya Jumaat lalu, tidak mengetahui apa-apa mengenai pengubahsuaian itu," tambahnya.

Lim juga menegur Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad yan berkata, memandangkan Jawatankuasa Dewan akan menyiasat perkara tersebut, maka PAC tidak akan 'campurtangan' bagi mengelak tanggapan wujudnya 'tidak keyakinan' antara kedua-dua jawatakuasa tersebut.

"Itu satu sikap yang silap, kerana tidak ada sama ada dalam Peraturan Tetapi Dewan Rakyat atau amalan perundangan di parlimen Komanwel atau antarabangsa, yang menghalang lebih daripada satu badan untuk menyiasat satu-satu isu," katanya.

Isu berhubung kos pengubahsuaian Parlilmen tercetus apabila berlaku kebocoran (foto) di Dewan Rakyat pada 28 April lalu yang mengakibatkan sesi persidangan telah ditamatkan lebih awal.