Audit yang dilakukan kerajaan pusat ke atas projek bekalan air ke kawasan luar bandar tahun lalu tidak menemui sebarang butiran berlaku rasuah di Jabatan Bekalan Air Sabah, kat Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Bercakap kepada media hari ini Ambrin berkata fokus audit ketika itu adalah untuk melihat sama ada projek berkenaan - termasuk di Sabah - mencapai objektif berdasarkan jumlah isi rumah yang mendapat bekalan air bersih.

"Saya pasti Jabatan Bekalan Air Sabah terlibat di dalam (audit). Ia (laporan audit) sudah dibentangkan kepada parlimen tahun lalu.

"Kami (hanya) melihat pencapaian projek-projek berkenaan, apakah kelemahan dari segi perancangan dan pelaksanaan," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perkongsian Kerajaan Terbuka anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di Kuala Lumpur.

Menurut Ambrin beliau tidak tahu menahu mengenai skandal rasuah bernilai RM3.3 bilion membabitkan beberapa pegawai kanan Jabatan Bekalan Air Sabah yang dibongkar baru-baru ini.

"Saya pun berminat nak tahu bagaimana mereka melakukannya," kata Ambrin ketika diminta pandangannya mengenai kes dianggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai terbesar dalam sejarah agensi berkenaan.

Menurut Ambrin kes berkenaan membabitkan aspek perolehan - bagaimana ia dikendalikan dan siapa yang mengendalikannya.

"Jika wang itu datang dari kementerian, adalah ia dihantar ke kementerian negeri atau jabatan negeri di Sabah. Ini yang kami mahu tahu," katanya.

Beliau kemudian menyatakan SPRM perlu dibenarkan melengkapkan siasatan sebelum pihaknya membuat keputusan sama ada melakukan tindakan audit susulan ke atas jabatan terbabit atau tidak.

[Baca berita penuh]