Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana menumbuk bapanya sendiri.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Khairi Abdul Wahab, 29, bermula dari tarikh jatuh hukuman setelah dia mengaku bersalah mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menendang ke atas pengadu Abdul Wahab Ahmad, 62, di Rumah Pangsa Setapak Jaya pada 12 tengah hari, semalam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, insiden itu berlaku akibat perselisihan faham selepas pengadu meminta tertuduh keluar segera dari bilik air menyebabkan tertuduh bertindak menumbuk dagu, mencekik leher, menendang kaki dan perut pengadu sejurus keluar dari bilik air.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan berjanji tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kedua ibu bapa telah menjaga tertuduh hingga dewasa.

Beliau juga memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana tertuduh tidak membalas jasa ibu bapanya malahan memukul bapanya dengan kejam.

- Bernama