Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) berkata pihaknya akan tetap mengiktiraf pelajar lulusan program aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) walaupun program itu dipindahkan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengurus Besar BEM, Ir Mohd Mazlan Ismail Merican berkata soal perpindahan program tidak akan memberi masalah kepada para pelajar yang sedang mengikuti program berkenaan.

"BEM akan memberi jaminan pengiktirafan walaupun terdapat arahan Kementerian Pengajian Tinggi supaya semua program kejuruteraan aeroangkasa yang ditawarkan di UPM dipindahkan ke UKM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas kekhuatiran yang timbul berhubung soal pengiktirafan bagi 120 orang pelajar tahun pertama hingga tahun ketiga yang sedang mengikuti program aeroangkasa di UPM sekarang ini.

Tambahnya, sekiranya UPM ingin membuat apa-apa perubahan terhadap program itu, universiti itu hendaklah mengemukakan permohonan semula kepada BEM.

Sebelum ini, cadangan untuk memindahkan program tersebut dari UPM ke UKM tidak dipersetujui oleh Naib Canselor universiti itu, Prof. Datuk Dr. Muhamad Zohadie Bardaie.

Berikutan itu, mesyuarat Lembaga Pengarah UPM telah membuat keputusannya mendesak Dr. Muhamad Zohadie meletakkan jawatan.

Memperlekeh menteri

Akhbar Utusan Malaysia (UM) melaporkan hari ini, pengerusi lembaga tersebut, Tan Sri Dr. Zainul Ariff Hussain dikatakan mengadakan mesyuarat itu Rabu lalu bagi memutuskan perkara berkenaan kerana mendakwa tindakan naib canselor itu telah mengeruhkan hubungan dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sebelum itu, sebuah laporan media telah memetik sumber sebagai berkata, lembaga pengarah itu juga tidak gembira dengan sajak yang dibaca Dr Muhamad Zohadie dalam satu majlis di UPM yang dikatakan memperlekehkan menteri tersebut.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh dilaporkan mengakui alasan lembaga tersebut mendesak Dr. Muhamad meletakkan jawatan, sebagai berasas.

Ketika diminta menjelaskan apakah alasan yang diberikan oleh Lembaga Pengarah UPM untuk mendesak Dr Muhammad Zohadie agar berundur, beliau berkata: "Saya lupa."

Katanya, beliau akan meneliti secara keseluruhan laporan lembaga tersebut sebelum menggunakan kuasa menteri bagi membuat keputusan sama ada memecat Muhamad Zohadie atau sebaliknya.

Shafie yang mengesahkan keputusan lembaga tersebut berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkenaan tetapi akan mempertimbangkannya secara terperinci.

``Kuasa melantik dan memecat terletak pada menteri atas nasihat lembaga pengarah universiti. Tetapi masih belum tentu sama ada saya bersetuju atau tidak dengan keputusan berkenaan.

Punca krisis

"Apa pun keputusan yang akan dibuat nanti ia adalah untuk kepentingan universiti dan negara secara keseluruhan,'' katanya.

Muhamad Zohadie dilantik Naib Canselor UPM pada April 2001 dan kontrak pelantikannya dijangka berakhir April tahun depan.

Menurut laporan UM lagi, krisis pentadbiran UPM dengan Shafie bermula selepas pelantikan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UPM, Prof. Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Azali Mohamed.

Kedua-dua timbalan naib canselor itu dikatakan bukan nama yang dicalonkan oleh Muhamad Zohadie dan Persatuan Pegawai Akademik UPM membantah pelantikan mereka.

Para pensyarah UPM juga dikatakan tidak senang dengan situasi yang berlaku sekarang termasuk tindakan Zainul Ariff yang dianggap sebagai masuk campur dalam urusan pentadbiran universiti