Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa polis memohon maaf berhubung insiden seorang doktor lelaki dikasari sepasukan polis di Hospital Serdang pada 7 Oktober lepas, lapor Bernama.

Presidennya, Dr John Chew dilaporkan Bernama sebagai berkata Dr R Thanendran menjadi mangsa kesilapan polis selepas beliau melarikan diri daripada anggota pasukan keselamatan itu ketika diarahkan berhenti.

"Kami mahukan permohonan maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan, walaupun selama ini kami berdiam diri kerana semua doktor berhati mulia.

"Bagaimanapun, tiada permohonan maaf yang dikemukakan. Kami faham dengan kekesalan yang diluahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Namun MMA tetap membantah kenyataan itu dan kekal dengan pendirian Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan pegawai kesihatannya dalam premis mereka," kata Dr Chew.

Kelmarin, Khalid menyatakan kekesalannya dalam insiden di mana Pasukan Khas Unit Jenayah Terancang mengasari seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan polis tidak akan memohon maaf atas insiden itu dan mempertahankan pasukan tersebut yang telah melakukan tugas dengan betul.

"Pasukan Khas itu sedang memburu suspek bersenjata dan mereka perlu menjalankan tugas dan mempunyai cara tersendiri mengendalikan penjenayah. Doktor itu berlari ketika diminta berhenti.

"Apabila anda diminta berhenti, anda perlu berhenti," kata Khalid.

- Bernama

Lihat Komen
ADS