Terjemahan Kerajaan hari ini bimbang dengan kejadian siri letupan bom di Burma dan menggesa rakyat Malaysia supaya mengelak melawat negara tersebut.

"Apa yang jelas ialah wujudkanya ketidakstabilan politik dan jika tidak ditangani dengan betul, keganasan akan berterusan," kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Kami berharap kerajaan Myanmar akan mampu menangani keadaan di sana," katanya.

Syed Hamid juga menggesa rakyat Malaysia supaya tidak melawat Myanmar (Burma), kerana kerajaan tidak pasti apa yang sedang berlaku di negara itu.

"Mereka boleh terperangkap dalam kejadian-kejadian tertentu yang boleh bertukar menjadi tragedi. Saya nasihatkan rakyat Malaysia elak (pergi ke Myanmar)," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Empat rakyat M'sia cedera

Syed Hamid berkata, empat rakyat Malaysia dalam letupan bom Sabtu lalu adalah anggota rombongan sebuah gereja tempatan yang sedang melawat Rangoon.

"Keempat mereka cedera. Seorang parah dan masih berada di Yangon (nama baru Rangoon) manakala yang tiga lagi diberi rawatan pesakit luar," katanya.

Kerajaan Burma yang diperintah junta tentera, telah menyekat penyiaran berita mengenai korban letupan tersebut selepas laporan rasmi menyebut jumlah 11 orang terbunuh, walaupun wujud kebimbangan yang jumlahnya mungkin lebih tinggi.

Pegawai-pegawai kanan Thailand di Bangkok berkata Isnin lalu, 21 orang, semuanya rakyat Burma, terbunuh dalam letupan bom yang berlaku di dua gedung membeli-belah dan sebuah pusat perdagangan.

- AFP