Terjemahan Mahkamah Majistret hari ini membebaskan dua rakyat Amerika yang ditahan selama 10 hari kerana disyaki menyebarkan risalah mengenai agama Kristian kepada orang Islam.

Menurut pihak polis dan kedutaan Amerika hari ini, mereka ditangkap pada 25 April lalu dan sebuah mahkamah telah mengarahkan mereka ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, seorang pegawai polis memberitahu AFP, mereka telah dibebaskan pada hari Rabu, 4 Mei lalu.

Adalah menjadi kesalahan di negara ini, bagi mana-mana pihak untuk menyebarkan agama mereka di kalangan umat Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Menurut polis, kedua-dua dikenali sebagai Ricky Rupert, berumur 30-an, dan Zachary Harris, 20-an. Rupert berasal dari Washington manakala Harris pula dari Colorado.

Seorang jurucakap Kedutaan Amerika mengesahkan pembebasan mereka itu, dan berkata: "Semua tuduhan terhadap mereka telah ditarik balik, dan mereka telah dibebaskan."

Pihak polis dan pegawai kedutaan tersebut berkata mereka tidak tahu sama ada Rupert dan Harris masih berada di sini ataupun telah meninggalkan negara ini.

Agensi berita Bernama telah melaporkan bahawa mereka ditangkap ketika sedang mengedarkan risalah agama di pusat pentadbiran baru kerajaan di Putrajaya.

- AFP