Kerajaan akan menutup hujung bulan ini pusat perkhidmatan sehenti (ORC) bagi kemasukan pekerja asing, terutama dari Indonesia yang tidak mendapat sambutan bagi menjimatkan perbelanjaan.

"Kerajaan akan menutup mana-mana ORC yang tidak rancak menjalankan tugas bagi menjimatkan perbelanjaan. Kita juga mungkin menambah bilangan kakitangan bagi mana-mana ORC yang didapati sibuk. Itu alternatif yang ada," kata Pengarah Penguatkuasa Imigresen Datuk Ishak Mohamed.

Apa yang mendukacitakan, katanya, ialah pelbagai kerenah birokrasi di pihak kerajaan Indonesia dalam mengesahkan pekerjanya untuk datang secara sah juga di luar jangkaan Malaysia.

"Walaupun telah diadakan pusat ORC tetapi ternyata ia masih gagal untuk membantu mereka mendapatkan pasport dan dokumen yang perlu untuk membolehkan mereka masuk," katanya kepada Bernama .

Setakat ini, katanya jumlah pekerja asing yang masuk hanya 26,710 orang berbanding yang pulang kira-kira 400,000 orang.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan operasi ORC yang beroperasi sejak Mac lalu, akan ditentukan selepas perbincangan diadakan dengan kerajaan Indonesia.

Operasi besar-besaran

Daripada kira-kira 1.2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dianggarkan berada di Malaysia hanya kira-kira 400,000 sahaja yang telah menyambut tawaran pengampunan tahun lalu untuk pulang secara sukarela dan masuk semula secara sah,

Manakala Ops Tegas bagi memburu baki PATI itu dilancarkan pada 1 Mac lalu setelah kerajaan memberikan masa yang mencukupi untuk mereka meninggalkan negara ini, tetapi hanya kira-kira 6,678 sahaja yang berjaya ditangkap dalam operasi itu setakat bulan ini.

Menurut laporan sebelum ini, operasi besar-besaran melibatkan hampir 500,000 anggota penguatkuasa dari Jabatan Imigresen, Rela, polis dan anggota Rukun Tetangga (RT).

Mengulas mengenainya, Ishak berkata perkataan "tegas" dalam nama operasi itu bermaksud "ditangkap, disiasat dan didakwa" dan tidak bermaksud banyak atau sedikitnya bilangan yang ditangkap.

"Tetapi ketegasan di sini bermaksud mereka ini tidak diberi peluang sebaliknya mereka yang ditangkap, mesti didakwa dan dijatuhkan hukuman," katanya.

Menurutnya, sehingga 5 Mei lalu, daripada 6,678 PATI yang ditahan, kira-kira 2,708 telah didakwa dan daripada jumlah itu, 2,686 telah dihukum penjara setelah didapati bersalah melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Pelarian Rohingya

Katanya, majikan dan pelindung yang melindungi PATI turut dikenakan tindakan apabila 114 orang ditahan dan lima daripadanya, dijatuhkan hukuman dan kes mereka masih di peringkat rayuan.

"Sehingga kini, hanya seorang majikan telah mengaku salah dan dikenakan denda atas kesalahan tersebut," katanya.

Ishak berkata, jika ada perangkaan yang menunjukkan terdapat pekerja asing dibebaskan, ini setelah mereka disahkan mempunyai pas lawatan dan Ops Tegas tidak akan ditamatkan sehingga usaha kerajaan untuk mengatasi masalah kebanjiran PATI itu mencapai matlamat.

Bagaimanapun, Bernama difahamkan ada pihak-pihak tertentu mahu pelarian Rohingya yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak diganggu.

Golongan yang diberi suaka politik pula seolah-olah menggunakan status itu sebagai pasport bagi mereka mengelak ditahan oleh pihak berkuasa. Terdapat kira-kira 40,000 pelarian Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR dan jumlahnya dijangka meningkat.

Begitu juga dengan bencana gempa bumi dan ombak besar yang melanda Aceh, apabila kerajaan perlu bersimpati terhadap rakyat Aceh yang menyebabkan pihak berkuasa berada dalam dilema. Isu ini turut diambil kesempatan oleh warga Indonesia lain untuk mengaku dirinya rakyat Aceh.

Keadaan di selatan Thai yang sedang bergolak dan menekan turut menyukarkan pihak berkuasa untuk menangkap rakyat Thai yang berasal dari wilayah tersebut.