Naib presiden: Semua kawasan PAS Ktan akur calon Dr Mariah
Kesemua 14 kawasan PAS Kelantan, termasuk tujuh yang selesai bermesyuarat Sabtu lalu, akur dengan keputusan Badan Perhubungan PAS negeri untuk mencalonkan wanita sebagai naib presiden dalam Muktamar parti itu mulai 1 hingga 6 Jun depan.
Kesemua 14 kawasan PAS Kelantan, termasuk tujuh yang selesai bermesyuarat Sabtu lalu, akur dengan keputusan Badan Perhubungan PAS negeri untuk mencalonkan wanita sebagai naib presiden dalam Muktamar parti itu mulai 1 hingga 6 Jun depan.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Husam Musa berkata kesemuanya telah memberikan pencalonan kepada Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmud (foto) untuk bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden itu.
Menurut laporan Bernama , Badan Perhubungan PAS negeri yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ketetapan itu pada mesyuarat mereka 22 April lalu.
Selain Dr Mariah, badan itu turut mencalonkan bekas Timbalan Menteri Besar Datuk Abdul Halim Abdul Rahman untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden manakala Husam dicalonkan bagi jawatan naib presiden.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri berkata, sesuatu kawasan mempunyai hak untuk mencalonkan sesiapa tetapi akhirnya seseorang calon itu yang akan menentukan sama ada pencalonan itu memberi kebaikan kepada parti atau tidak.
Ketika mengulas pencalonan beliau, Husam berkata beliau tidak pasti mengenai keseluruhan pencalonan yang diterima kerana perkara itu akan diketahui selepas tarikh pencalonan ditutup 15 Mei ini.
"Selepas tarikh itu, maklumat rasmi akan diperolehi oleh setiap calon tetapi lazimnya kebanyakan calon tidak ghairah menerima pencalonan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Aziz.

