Gerakan Mahasiswa Maju (GMM) Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa Lembaga Pengarah universiti tersebut menarik balik desakannya supaya Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Muhamad Zohaidie Bardaie meletakkan jawatan berikutan isu pemindahan Program Aeroangkasa ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

GMM tidak bersetuju dengan alasan Lembaga Pengarah UPM untuk mendesak Dr Muhamad Zohaidie berbuat demikian kerana beliau menghantar memorandum bantahan berhubung pemidahan program tersebut, serta membaca pantun yang memperlekeh menteri di satu majlis terbuka.

Penyelarasnya, Tan Kar Hing berkata, keputusan yang didakwanya bermotif politik itu telah menyebabkan orang ramai hilang keyakinan ke atas universiti yang seharusnya merupakan satu platform akademik dan profesional.

"Kami berpendapat bahawa penghantaran memorandum dan pembacaan pantun menunjukkan bahawa beliau seorang patriotik dan prihatin kepada universiti. Pantun yang dibacanya langsung tidak berniat memperlekeh sesiapa tetapi dituduh melakukan kesalahan besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Tan berkata, Lembaga Pengarah UPM tidak harus campurtangan dalam pentadbiran universiti dan perkara ini sepatutnya diputuskan oleh mahasiswa dan pensyarah.

Katanya, tindakan tersebut telah melumpuhkan sistem pentadbiran universiti dan menyekat kebebasan akademik.

Beliau berkata, tindakan yang tidak wajar ini akan menghalang para akademik daripada memberi pandangan profesional yang membina pada masa depan.

Bertugas seperti biasa

"Kami menyeru organisasi masyarakat supaya mendesak Lembaga Pengarah UPM membatalkan desakan mereka supaya Dr Muhamad Zohaidie meletakkan jawatan.

"Kementerian Pengajian Tinggi pula harus memastikan kejadian ini tidak berlaku lagi kerana kegagalan menteri melaksanakan tanggungjawab akan melukai sistem penddikan dan memburukkan nama negara di arena antarabangsa," katanya.

Sehingga semalam Dr Muhamad Zohaidie masih menjalankan tugas seperti biasa dan beliau pula mengambil sikap berdiam diri menyebabkan teka teki mengenai kedudukannya sukar dijawab.

Isu tersebut bermula apabila akhbar melaporkan kelmarin mengenai mesyuarat tergempar yang diadakan oleh Lembaga Pengarah UPM dan mendesak Dr Muhamad Zohadie supaya meletakkan jawatan.

Mesyuarat tergempar itu diadakan Rabu lalu tanpa kehadiran Dr Muhamad Zohadie walaupun beliau selaku ahli jawatankuasa kanan lembaga berkenaan.

Menurut laporan akhbar, Dr Muhamad Zohadie tidak dijemput kerana mesyuarat berkenaan bertujuan bagi membincangkan tindakan terhadapnya yang didakwa telah mengeruhkan hubungan UPM dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh memberi jaminan sebarang keputusan yang dibuat berhubung kedudukan Dr Muhamad Zohadie akan mengambil kira kepentingan universiti itu dan negara.

Shafie berkata menteri mempunyai kuasa untuk memecat dan melantik Naib Canselor tetapi keputusan itu bergantung kepada nasihat Lembaga Pengarah Universiti.