Kerajaan berhutang RM200 juta kepada kontraktor di Putrajaya
Terjemahan Sesetengah kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan belum mendapat bayaran selama sembilan bulan, demikian menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina semalam.
Terjemahan Sesetengah kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan belum mendapat bayaran selama sembilan bulan, demikian menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina semalam.
Akhbar Oriental Daily News memetik Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Goh Chye Koon sebagai berkata, di Putrajaya sahaja, kerajaan berhutang RM200 juta kepada kontraktor terbabit.
Menurutnya, jumlah tersebut terkumpul kerana proses pembayaran yang terlalu panjang.
Bayaran bagi kerja kontrak di pusat pentadbiran baru kerajaan itu, dijelaskan oleh Perbadanan Putrajaya (pentadbirnya) selepas mendapat lampu hijau dari Putrajaya Holdings (pemajunya), di mana Petronas merupakan pemegang saham terbesarnya.
"Sehingga akhir tahun lalu, masih terdapat banyak lagi projek pembinaan yang belum dijelaskan bayarannya. Saya rasa ianya juga berlaku dalam projek-projek kerajaan yang lain," kata Goh.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 syarikat ahli persatuannya, terbabit melaksanakan projek pembangunan pusat pentadbiran kerajaan itu.
Katanya, pihak kontraktor telah membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung pembayaran yang belum dijelaskan itu.
Sambil menyifatkannya sebagai 'masalah besar', Goh bertanya: "Jika anda seorang kontraktor, apakah anda boleh bertahan jika orang berhutang RM20 juta kepada anda?"
Goh tidak dapat dihubungi untuk mendapat pengesahan mengenai dakwaannya itu.
Telah dimaklum pada PM
Seorang pegawai tinggi MBAM, yang enggan disiarkan namanya, mendakwa pihak persatuan tidak tahu menahu mengenai angka-angka yang dipetik dalam laporan tersebut.
"Tidak siapa yang tahu angka sebenarnya, tetapi pembayaran kepada kontraktor memang lambat. Kontraktor terbabit tidak memberitahu kita jumlah sebenar (bayaran) tersebut. Malah, mereka juga tidak mahu nama mereka disebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kelewatan pembayaran (kepada kontraktor ) itu tidak dapat diterima memandangkan keadaan harga bahan-bahan binaan yang tidak stabil dan juga masalah kekurangan pekerja asing.
"Aliran tunai kontraktor terbabit agak ketat apabila harga bahan binaan tidak
stabil...tiada pula kemajuan dalam pembayaran dan tidak ada kerja...kami juga menghadapi masalah mendapatkan pekerja asing...(keadaan) sangat teruk," katanya.
Menurutnya, MBAM telah memaklumkan masalah kontraktor terbabit melalui surat yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kementerian Kewangan.
"Kami turut membangkitkan isu tersebut sewaktu menghadiri mesyuarat mengenai persediaan bajet dengan perdana menteri bulan lalu. Mengenai punca (pembayaran lewat), anda kenalah cari sendiri," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.