Kerajaan sedang mengkaji lapan bentuk hukuman alternatif bagi hukuman penjara termasuk mengadakan sistem parol, perintah khidmat masyarakat dan bayaran denda secara ansuran kepada pesalah yang melakukan kesalahan kecil.

Hukuman alternatif lain yang dicadangkan ialah Pusat Mewajibkan Hadir, saman sebagai ganti kepada `penangkapan dan penahanan' bagi tahanan reman, menghantar terus banduan tidak waras ke hospital mental dan mempertimbangkan denda mengikut keupayaan pendapatan pesalah bagi hukuman denda.

"Kementerian juga akan mengkaji semula hukuman yang melibatkan sebatan rotan dan penjara dengan memberi pertimbangan menambah sebatan dan mengurangkan tempoh hukuman penjara," kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar ketika sesi soal-jawab di Sidang Dewan Negara hari ini.

Katanya, cadangan tersebut, jika dilaksanakan, boleh mengurangkan kesesakan di penjara serta mengurangkan kos kerajaan dalam perbelanjaan mengurus banduan yang kini melebihi RM409 juta setahun.

Sistem parol, katanya, jika diluluskan akan melibatkan 2,100 banduan yang layak dipertimbangkan untuk dibebaskan secara parol, katanya.

Manakala kos keseluruhan bagi menguruskan seseorang banduan untuk sehari ialah RM35 dan kini terdapat 32,464 banduan di seluruh negara, katanya.

"Kos itu melibatkan perbelanjaan untuk tujuan makanan, pemulihan, latihan, kawalan, pakaian, peralatan, pengiringan, rawatan, ubatan dan utiliti," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan Senator Muhammad Shukri yang ingin tahu apakah kerajaan membuat kajian terhadap hukuman alternatif memandangkan kos memenjara banduan atau pesalah adalah tinggi.

Bayar denda secara ansuran

Noh berkata melalui cadangan untuk memaksimumkan penggunaan peruntukan di abawah Kanun Acara Jenayah, mahkamah yang menjatuhkan hukuman denda boleh mempertimbangkan untuk memberi masa bagi pesalah membayar denda atau mengarahkan denda dibayar secara beransur-ansur.

Noh berkata kira-kira 40 peratus atau 13,000 daripada jumlah banduan yang ditahan di 29 penjara kini adalah tahanan reman manakala 2,000 banduan lagi dihukum penjara kerana kesalahan kecil dan 198 orang ialah banduan tidak waras yang memerlukan rawatan psikiatri.

"Statistik tahanan reman di penjara adalah tinggi dan merupakan salah satu punca kesesakan di penjara," katanya.

Beliau berkata semua kajian dilakukan Jabatan Penjara dan bagi sistem parol semua pindaan yang melibatkan peraturan dan mekanisme pelaksanaan serta kertas kabinet telah siap manakala kertas cadangan bagi Perintah Khidmat Masyarakat sedang diteliti di peringkat kementerian.

Noh berkata bagi cadangan alternatif lain, perkara itu masih di peringkat kajian kementerian melalui Jabatan Penjara Malaysia.