Lima anggota MCA Bahagian Bukit Mertajam hari ini memfailkan saman terhadap parti itu berhubung kewujudan anggota palsu dalam daftar parti berkenaan.

Menurut laporan Bernama, mereka memfailkan writ saman berkenaan serta penyata tuntutan di pejabat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) di sini melalui Tetuan Rashid Zulkifli.

Lima plaintif terbabit -- Tan Huat Yeng @ Tan Huat Eng, Tan Kah Chuah, Ang Siam King, Peh Chyuan Chyuan dan Lim Cheng Huat -- menamakan setiausaha agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh sebagai defenden bagi pihak parti itu.

Huat Yeng adalah pengerusi MCA Cawangan Taman Machang Bubuk, Kah Chuah pengerusi Wanita MCA Cawangan Bukit, Ang pengerusi Wanita MCA Cawangan Sungei Rambai, Peh pengerusi Pemuda MCA Cawangan Taman Selamat manakala Lim timbalan pengerusi MCA Cawangan Taman Bukit.

Dalam penyata tuntutan mereka, plaintif memohon mendapatkan perisytiharan bahawa daftar sedia ada yang mengandungi nama anggota parti itu adalah tidak betul.

Mereka juga memohon perintah agar MCA mengambil semua langkah wajar untuk mengaudit dan membuat pembetulan terhadap daftar anggota parti itu sebelum berlangsungnya perhimpunan peringkat bahagian, sejajar dengan perlembagaan parti.

Di samping itu, mereka memohon perintah mandatori untuk membuang atau memadam semua nama anggota palsu daripada senarai berkenaan serta perintah untuk menghalang parti itu serta anggotanya daripada menggunakan senarai itu bagi tujuan pemilihan di peringkat bahagian, sehingalah nama anggota palsu dikeluarkan daripadanya.

Mereka juga menuntut ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.