Jalan Raja Muda Abdul Aziz, berhampiran Kampung Baru akan ditutup sementara waktu pada waktu malam antara 1 hingga 15 November bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan jalan bagi persiapan untuk kerja-kerja projek Aliran Transit Massa (MRT).
Dalam satu kenyataan hari ini, MMC Gamuda Sdn Bhd mengumumkan penutupan laluan itu melibatkan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kondominium Setia Sky dan persimpangan ke Jalan Gurney dan Jalan Tun Razak untuk selama 15 malam.
"Penutupan ini, melibatkan jarak sepanjang 250 meter di lorong laju pada kedua-dua arah, akan dilaksanakan berperingkat dari pukul 10 malam sehingga 6 pagi untuk memudahkan pembinaan jalan bagi persiapan pembangunan MRT.
Pelan pengurusan trafik adalah penting untuk memudahkan pembinaan Stesen MRT S15 Kampung Baru Utara, yang merupakan satu daripada 11 stesen bawah tanah di dalam jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP)," kata MMC.
Syarikat itu menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda arahan semasa penutupan dan penjajaran jalan dan Pasukan Respons Kecemasan Projek MRT akan dihantar untuk membantu mengawal lalulintas.
"MMC memohon maaf di atas kesulitan yang timbul," katanya lagi.
Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang MRT di www.mymrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my, Twitter @MRTMalaysia atau @MyMRTUnderground, Facebook @MRTMalaysia atau hubungi Hotline MRT di 1-800-82-6868.
- Bernama
