Pelajar UiTM dipecat: Suhakam bincang Isnin depan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan membawa isu penyingkiran seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mesyuaratnya Isnin depan.
Timbalan Pengerusi badan itu Tan Sri Harun Hashim memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar petang tadi selepas menerima memorandum daripada isteri-isteri tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Rafzan Ramli, yang dipecat 22 Jun lalu oleh jawatankuasa tatatertib universiti itu atas tuduhan menyertai perhimpunan haram, menyerahkan satu memorandum kepada suruhanjaya itu Sabtu lalu.
Memorandum itu antara lain menggesa: Suhakam menyiasat perbicaraan tatatertib itu yang didakwa tidak adil dan tidak bebas, dan juga memohon UiTM membatalkan keputusan memecat Rafzan yang dianggap tidak demokratik.
Pelajar jurusan kejuruteraan itu ditangkap di pekarangan Masjid Negara pada 8 Jun lalu ketika perhimpunan bagi mengutuk ISA.
Rafzan, dengan disertai lebih 50 aktivis yang mewakili beberapa pertubuhan pelajar, menyerahkan memorandum itu kepada setiausaha Suhakam, Kamaruddin Mohamed Baria.
Keputusan untuk mendakwa
Sementara itu, keputusan untuk mendakwa atau membebaskan enam pelajar pusat pengajian tinggi yang ditahan ketika menyertai perhimpunan di Masjid Negara itu akan ditentukan Khamis depan.
Jurucakap kumpulan itu Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI), Syahrir Mahmood berkata, polis belum membuat keputusan lanjut berhubung kes itu semasa mereka melapor diri di balai polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Tujuh orang, termasuk enam pelajar, ditahan selama hampir 24 jam di balai itu dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin polis.
Malaysiakini difahamkan dua pelajar Universiti Malaya (UM), yang turut ditahan, dipanggil oleh pihak pentadbiran universiti itu mingu lepas untuk memberi penjelasan.
Dua lagi aktivis pelajar yang turut ditahan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Perhimpunan itu disertai 200 pelajar, termasuk wanita, dan dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali GMMI.

