Anggota Exco Selangor Elizabeth Wong mendesak kerajaan Negeri Sembilan membersihkan tapak pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air bersih di Selangor.

Katanya Selangor sudah membina banyak benteng pada tempat air dari Sungai Buah dan Sungai Semenyih bertemu dan merawat air pada benteng dan tapak pencemaran yang menyebabkan berlakunya pengaktifan karbon.

Proses itu kata Wong membuktikan ia berkesan menurunkan kadar pencemaran, tetapi ia tidak bertahan lama.

"Selangor mahu kerajaan Negeri Sembilan merawat tapak pencemaran itu supaya air yang tercemar tidak mengalir ke Sungai Buah.

"Jika ia tidak dilakukan kita berada dalam situasi malang.

"Kita sudah membina benteng - ada tiga semuanya - dan kita perlu membeli bahan karbon yang diaktifkan setiap hari.

"Kami sudah kehabisan stok (karbon diaktifkan) di Selangor. Ia semua dibawa ke sini. Kami tidak boleh melakukan ini setiap hari selama 365 hari setahun, jadi mereka (Negeri Sembilan) perlu menyelesaikan masalah itu," katanya kepada media di Sungai Buah, Dengkil hari ini.

Sebahagian penduduk Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila loji rawatan Sungai Semenyih terpaksa ditutup ekoran berlaku pencemaran di dua sungai berkaitan.

Memetik kenyataan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Anuar Ishak, Bernama melaporkan pemeriksaan di kawasan longkang sekitar kilometer 46.2 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara, Nilai mendapati ada kesan tumpahan minyak diesel, minyak hitam dan minyak kepala sawit.

Kata Anuar ia berlaku kesan kemalangan lori tangki membawa muatan minyak sawit di kawasan itu 21 Oktober lalu.

Katanya keadaan diburukkan lagi dengan adanya hujan menyebabkan bahan berkenaan dialirkan ke kawasan lain.

"Faktor masa juga menyebabkan campuran berkenaan membeku dan bertukar menjadi warna putih yang terapung di permukaan air," katanya.

Menurut Wong bahan cemar itu dikenali sebagai 4-bromodiphenyl ether yang mencemari tanah di kilometer 45.9 Lebuh Raya Elite.

Katanya sejumlah 10 tan bahan karbon diaktifkan sudah digunakan untuk merawat air di benteng dibina Selangor, manakala 10 tan lagi digunakan di kawasan berhampiran sumber pencemaran itu.

[Baca berita penuh]