Keng Yaik digesa tarik balik kenyataannya
Sebuah pusat pengajian swasta Pusat Pendidikan Sri-Smi Bhd (Musleh) kesal dengan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berhubung isu pembelajaran subjek agama Islam di sekolah kebangsaan baru-baru ini.
Sebuah pusat pengajian swasta Pusat Pendidikan Sri-Smi Bhd (Musleh) kesal dengan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berhubung isu pembelajaran subjek agama Islam di sekolah kebangsaan baru-baru ini.
Pengerusi dan Pengarah Eksekutifnya, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berkata, kenyataan Presiden Gerakan itu merunsingkan rakyat, terutama ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah kebangsaan.
Katanya, Dr Lim adalah seorang pemimpin yang masih belum menjiwai semangat Malaysia ke arah kesatuan dalam menangangi isu sensitif seperti agama.
Sehubungan itu, Musleh, yang berpusat di Kuala Lumpur, meminta Dr Lim menarik balik kenyataan tersebut dan kerajaan perlu mengenalpasti dan menegur pemimpin masyarakat yang mempunyai pemahaman begini kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.
Baru-baru ini, Presiden Gerakan itu mendakwa pelajaran agama Islam tidak perlu diajar di sekolah kebangsaan sebaliknya hendaklah dipelajari di rumah, sekolah agama dan tempat ibadat.
(Keng Yaik kemudiannya menjelaskan bahawa ucapannya telah disalahfahamkan. Beliau hanya mencadangkan supaya sekolah kebangsaan tidak terlalu menekankan agama seperti yang telah dibincangkan dalam kabinet, dan beliau tidak menyaran supaya Pendidikan Agama diketepikan di sekolah kebangsaan).
Boleh keruhkan hubungan
"Kenyataan tersebut akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan melaksanakan Islam Hadhari di setiap peringkat dan bercanggah dengan kemahuan Perdana Menteri untuk melahirkan insan unggul melalui sistem pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, ia juga menyentuh sensitiviti umat Islam selain bercanggah dengan perlembagaan yang mengatakan Islam adalah agama rasmi negara.
Katanya lagi, kenyataan Dr Lim itu boleh mewujudkan perasaan saling mencurigai dan mengeruhkan perhubungan baik di kalangan rakyat negara ini.
"Keengganan bangsa lain menyertai sekolah kebangsaan bukan disebabkan oleh adanya subjek agama tetapi kerana faktor lain," katanya.
Megat Mohamed Amin mendakwa, ahli parti Gerakan yang dipimpin oleh Dr Lim berkemungkinan besar juga mempunyai corak pemikiran sama sepertinya.
Beliau berkata, pendidikan agama Islam yang tidak bersama arus perdana pendidikan negara boleh tersisih dan boleh menggagalkan Falsafah Pendidikan Negara.

