Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pihak polis menangguhkan soal siasat mereka dengan bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sehingga satu tarikh yang dijangka pada minggu hadapan.

Ahmad Husni sepatutnya merekodkan keterangannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 2.30 petang hari ini.

Beliau tiba pada pukul 2.15 petang dan meninggalkan Bukit Aman 15 minit kemudian.

Bekas menteri itu dilihat turut memegang salinan peraturan tetap Dewan Rakyat dan beberapa dokumen lain.

Turut hadir beberapa anggota parlimen Pakatan Harapan dan bekas anggota BERSATU Datuk Khairuddin Abu Hassan yang berada di sana untuk memberikan sokongan moral kepada Ahmad Husni.

Antara yang hadir ialah Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Tian Chua (Batu), Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, tiga bekas menteri akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung dakwaan melanggar sumpah kerahsiaan ketika membahaskan Belanjawan 2017.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Husni, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Shafie Apdal mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan dengan mendedahkan perbincangan kabinet.

Ketiga-tiga mereka menyentuh mengenai 1MDB semasa perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama, dua NGO Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab Sahabat Najib (N87) Kuala Lumpur telah membuat laporan polis terhadap mereka.

Lihat Komen
ADS