Universiti Malaya (UM) hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh 30 lulusan perubatan universiti luar negara yang kelayakan mereka dikatakan tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi M.Edwin Paramjothy menolak permohonan UM untuk membatalkan saman itu dengan kos dalam kamarnya.

UM dinamakan sebagai antara lima defendan dalam saman itu selain Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Kementerian Kesihatan dan dua lagi universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut laporan Bernama, MMC, Kementerian Kesihatan dan USM masing-masing turut membuat permohonan untuk membatalkan saman itu tetapi tarikh untuk mendengarnya mereka belum ditetapkan.

Doktor-doktor yang berusia antara 30 dan 42 tahun itu yang lulus daripada beberapa universiti di Indonesia, India, Pakistan dan Syria, mengemukakan saman itu terhadap semua defendan untuk meminta kebenaran mengamalkan profesyen kedoktoran di negara ini.

Didakwa langgar perlembagaan

Doktor-doktor berkenaan menuntut perintah daripada mahkamah supaya mereka diberikan hak untuk mengamalkan profesyen kedoktoran mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan setelah menghabiskan latihan praktikal selama enam bulan.

Mereka juga mahu perintah mahkamah bahawa keputusan yang dikeluarkan oleh UM, UKM dan USM yang mengagalkan mereka dalam peperiksaan akhir adalah tidak adil dan bersikap diskriminasi serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menurut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa ijazah perubatan yang diperolehi adalah sah dan diiktiraf oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara di mana ijazah-ijazah itu dikeluarkan.

UM, dalam permohonannya untuk membatalkan saman itu, mendakwa plaintif-plaintif tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan terhadap universiti.

UM mendakwa deklarasi yang diminta oleh plaintif adalah salah tanggapan di bawah undang-undang, remeh dan menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.