Seorang rakyat Nepal disebat dan dipenjara selama 51 hari di Penjara Kajang kerana disangka pendatang tanpa izin walaupun dia mempunyai permit kerja yang sah, demikian menurut laporan sebuah akhbar hari ini.

Dia ditangkap sewaktu gerakan besar-besaran menahan pendatang tanpa izin yang dilancarkan Mac lalu dan hanya dibebaskan selepas campurtangan seorang kawasan dan sebuah badan hak asasi manusia, lapor akhbar Malay Mail .

Mangal Bahadur Gurung, 30, seorang pekerja restoran dihukum 10 bulan penjara dan sekali sebat selepas ditangkap pada 6 Mac lalu.

Dia telah menjalani hukuman sebat dan berada di penjara itu sehingga semalam, apabila mahkamah membatalkan hukumannya dan mengarahkan dia dibebaskan segera selepas Tenaganita mengendalikan kes tersebut.

Sebelum ini pun, beberapa badan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International, telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kemungkinan berlaku penganiayaan seumpama itu apabila operasi penangkapan pendatang asing dilancarkan.

Dalam tempoh dua bulan pertama operasi dilancarkan, kira-kira 6,500 pekerja asing, terutamanya rakyat Indonesia, India dan Mynmar, telah ditahan.

Setengah daripada mereka telah dihantar pulang, manakala yang lainnya dijatuhkan hukuman penjara dan hukuman sebat.

Selepas dibebaskan, Gurung memberitahu Malay Mail yang dia mahu pulang ke Nepal.

- AFP