Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan pentadbirannya ketika ia dikritik Selangor kerana gagal berperanan mengatasi krisis pencemaran air yang melanda kini.
"Dakwaan kerajaan Negeri Sembilan tidak bekerjasama atau tak peduli, semuanya tidak betul.
"Kami tidak meletakkan perbezaan politik mengatasi kepentingan rakyat," katanya seperti dilaporkan The Malay Mail Online hari ini.
Menurut Mohamad Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan dan agensi lain berkaitan masih menyiasat isu berkenaan.
Sebelum ini Exco Selangor Elizabeth Wong mendakwa Negeri Sembilan kurang memberi kerjasama membersihkan tapak pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.
Kata Wong Selangor membina benteng di tempat pertemuan Sungai Buah dan Sungai Semenyih serta merawat air di situ dengan bahan karbon diaktifkan.
Tapak punca pencemaran yang terletak di luar sempadan Selangor juga sudah dirawat.
Kata Wong ia terbukti berkesan menurunkan kadar pencemaran namun ia tidak berpanjangan.
Bagaimanapun menurut Wong apabila pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Nor Zamri Sondor menghubungi rakan sejawatnya di Negeri Sembilan untuk mendapatkan bantuan pada Khamis namun tidak berhasil.
Pemimpin pembangkang Negeri Sembilan Anthony Loke juga sebelum ini menggesa kerajaan negeri itu mengetepikan perbezaan politik dan membantu Selangor menangani isu berkenaan.
Katanya kualiti air perlu dikembalikan kepada keadaan asal segera manakala siasatan - termasuk dakwaan berlaku sabotaj - boleh dilakukan kemudian.
