Setinggan Sg Udang tidak mampu bayar RM42,000
Syarikat pemaju projek perumahan kos rendah Taman Cuepacs didakwa enggan menjual rumah kepada setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut kerana penduduk terbabit hanya mampu membelinya pada kadar harga yang lebih rendah berbanding harga jualan di pasaran terbuka.
Syarikat pemaju projek perumahan kos rendah Taman Cuepacs didakwa enggan menjual rumah kepada setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut kerana penduduk terbabit hanya mampu membelinya pada kadar harga yang lebih rendah berbanding harga jualan di pasaran terbuka.
"Syarikat pemaju, Megah Kepong Sdn Bhd, mahu menjualnya pada harga RM42,000 berbanding harga yang diminta oleh setinggan Kampung Sungai Udang iaitu RM33,000," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob.
Menurutnya, hanya segelintir daripada 280 pembeli rumah pangsa adalah penduduk Fasa 1 dan 2 Taman Cuepacs, manakala yang lainnya pembeli dari luar.
Oleh itu, katanya,tidak hairanlah permohonan setinggan Kampung Sungai Udang tidak berjaya kerana pemaju mahu menjual kepada pihak lain untuk mendapatkan keuntungan.
"Mustahil semua sekali 1,000 unit lot rumah di Taman Cuepacs sudah dijual, sedangkan senarai pembeli yang diberikan pemaju kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak sampai separuh daripada jumlah tersebut.
"Megah Kepong kata mereka tidak dapat menjual unit rumah kepada setinggan Sungai Udang kerana 200 unit dibeli oleh penduduk Fasa 1 dan 2, sedangkan penduduk terbabit sebenarnya sudah lama berpindah sejak 20 tahun lalu.
Sebaliknya, Mohamad mendakwa sebahagian pembeli rumah tersebut ditentukan oleh pejabat Ahli Parlimen Segambut, Tan Kee Kwong.
'Rumah sudah habis'
Beliau berkata, DBKL sendiri menyerahkan sepenuhnya kepada Megah Kepong untuk membanci penduduk yang mahu membeli rumah pangsa kos rendah "sedangkan DBKL tahu pemaju tidak menjual rumah itu kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang".
Katanya, Ketua Pengarah DBKL Salleh Yusup pula bersikap lepas tangan dan apabila wakil penduduk bertanyakan hal itu beliau menjawab "rumah sudah habis."
DBKL mengarahkan setinggan Kampung Sungai Udang berpindah segera kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mahu melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, penduduk mahu membeli rumah pangsa kos rendah yang dimajukan oleh Megah Kepong di Taman Cuepacs sebagai syarat mereka berpindah tetapi DBKL mahu mereka menyewa di perumahan rakyat di Jinjang.
Rayuan mereka untuk membeli rumah tersebut kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan juga kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad juga tidak berjaya.
Bagaimanapun, penduduk telah mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

