Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Haji tak cukup dana bayar semua sekali gus - Rafizi

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa penyata kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2015 yang dianalisisnya menunjukkan bahawa badan itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar balik semua pendeposit sekiranya mereka mengeluarkan wang sekali gus.

"Minggu lalu Tabung Haji telah mengeluarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini 31 Disember 2015 dan menerusi analisis pergerakan dana pendeposit menunjukkan jumlah simpanan bersih bagi tahun itu merosot lapan peratus sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2015 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.

"Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar semula simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan sekaligus pada tempoh itu ia akan kekurangan wang untuk memulangkan semua simpanan," katanya pada sdang media di Parlimen hari ini.

Rafizi, yang juga Naib Presiden PKR dan Setiausaha Agung, mengunjurkan bahawa Tabung Haji akan kekurangan RM3 bilion jika semua pendeposit berbuat demikian.

Katanya, hasil analisis penyata pendapatan itu yang menunjukkan untung sebenar pelaburan Tabung Haji hanya pada RM450 juta.

Menurutnya, tabung itu selama ini menggunakan kadar bayaran dividen tinggi untuk menyembunyikan kerugian besar pelaburannya.

"Saya juga sangat khuatir apabila analisis menunjukkan simpanan bersih bagi tahun 2015 merosot sebanyak lapan peratus sedangkan selama lapan tahun dari 2009 hingga 2015 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.

"Selama ini mereka menyembunyikan kerugian besar pelaburannya kerana saban tahun simpanan bersih baru yang terus bertambah menenggelamkan kerugian-kerugian tersebut," katanya.

Katanya, Tabung Haji hanya dilihat kukuh kerana pendeposit berterusan menambah simpanan tanpa mengira prestasi kewangan yang tidak menerima keuntungan dari aspek pelaburan.

Bagi membuktikan dakwaannya itu, Rafizi mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kedudukan kewangan enam bulan pertama Tabung Haji sehingga 30 Jun lalu bagi tahun ini.

Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada Tabung Haji untuk mendapatkan reaksi dan sedang menunggu jawapan mereka.

 

 

Lihat Komen
ADS