Memilih antara festival rock dan BERSIH5
Pertembungan tarikh antara festival muzik rock dan perhimpunan BERSIH5 pada 19 November bermakna ramai, terutama golongan muda di bandar perlu membuat pilihan
Walaupun penganjur festival mencadangkan tarikh himpunan itu diubah, namun BERSIH membuat keputusan untuk meneruskannya kerana percaya kehadiran di himpunan menuntut hak rakyat itu, tidak akan terjejas.
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah mengesahkan bahawa kedua-dua pihak telah bertemu.
"Kami bersetuju bahawa kedua-duanya boleh diadakan serentak kerana tempat kami berjauhan. Ia tidak akan menjejaskan kehadiran," kata Maria kepada Malaysiakini.
Festival rock - Rockaway 2016 - dianjurkan oleh Livescape Group dan diiktiraf sebagai festival rock terbesar pernah diadakan di negara ini, dengan menampilkan persembahan artis tempatan dan luar negara.
Ia akan berlangsung di Extreme Park, Bukit Jalil, kira-kira 15 kilometer dari Dataran Merdeka, di mana BERSIH 5 dijadual diadakan.
Bagi peminat rock, peluang untuk menyaksikan penampilan ramai bintang, mungkin sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Band antarabangsa seperti Third Eye Blind, Taking Back Sunday dan The Get Up Kids, akan tampil bersama beberapa artis tempatan yang terkenal seperti Alleycats dan Zainal Abidin.
Kemunculan semula Butterfingers
Festival itu akan diketuai kumpulan rock ikonik, Butterfingers, yang membuat kemunculan semula selepas album terakhir mereka 'Kembali' lapan tahun lalu.
Baru-baru ini, beberapa peminat mengumumkan di media sosial bahawa festival muzik itu lebih penting daripada BERSIH.
"Sama tarikh dengan Bersih5. Demi Butterfingers, terpaksa gadai prinsip perjuangan kejap," tulis pengguna Twitter @fariddbambil.
Sementara itu @comradenami menulis :"Bersih 5 masa Rockaway ke? Sorry lah, Lyme dan Butterfingers lagi menarik kot".
Bahkan peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan juga turut serta menulis di akaun Twitternya bahawa Butterfinger> Bersih.
Ketua pemasaran Livescape Group Jason Kong Chee Wei berkata perbincangan dengan BERSIH diadakan pada 24 Oktober lalu.
Menurutnya Livescape berpendapat perhimpunan tersebut perlu ditangguhkan atau diadakan lebih awal bagi mengelakkan pertembungan dengan festival itu.
"Kami menjangkakan kira-kira 10,000 peminat di Rockaway pada 19 November memandangkan barisan kumpulan yang akan membuat persembahan adalah yang terbesar pernah dilihat dalam festival rock.
"Saya tak fikir ia akan banyak menjejaskan di pihak kami, sekurang-kurangnya dari segi jumlah kehadiran, kerana Rockaway adalah acara bertiket, yang bermaksud peminat yang menuju ke Rockaway telah membeli tiket mereka," katanya.
Kong memberitahu Livescape Group memberi laluan kepada perhimpunan BERSIH 4 tahun lepas, tetapi tidak boleh melakukannya kali ini.

