AirAsia mengesahkan pesawatnya yang dijadual terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur malam tadi terlibat dalam kemalangan ketika bergerak atas landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.

Bagaimanapun, kata syarikat tambang murah itu, semua penumpang dan anak kapal dalam AK6443 yang menggunakan pesawat A320 Airbus itu selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Penumpang juga diberikan bantuan diperlukan, kata AirAsia.

Sementara itu, menurut syarikat itu lagi pesawat lain AK6446 yang dijadual tiba ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur semalam, dibatalkan.

“AirAsia akan memastikan tetamu yang terjejas dimaklumkan berkaitan penerbangan terbaru,” katanya.

Sinar Online melaporkan pesawat itu tergelincir di bahu landasan pada jam 10.25 malam tadi malam tadi ketika pusingan U di hujung landasan itu.

Tayar depan dan belakang bahagian kiri pesawat juga dilapor terbenam dalam tanah.