Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL tolak himpunan BERSIH, Baju Merah di Dataran Merdeka
Diterbitkan:  Nov 2, 2016 1:20 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Dataran Merdeka adalah kawasan larangan bagi penyokong Baju Merah yang dikaitkan dengan Umno dan penyokong BERSIH, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz hari ini.

Beliau memberitahu Malaysiakini tiada kelulusan diberikan kepada himpunan Baju Merah anjuran Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada 5 November atau perhimpunan BERSIH pada 19 November.

"Saya membaca kedua-dua surat (permohonan) pagi ini.

"Tiada perhimpunan (di Dataran Merdeka) akan dibenarkan. Kedua-dua (permohonan) tidak diluluskan," kata Md Amin ketika dihubungi.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 terhadap penganjur yang berkeras meneruskan himpunan di Dataran Merdeka, Md Amin berkata pegawai DBKL dan polis akan ditempatkan di lokasi berkenaan pada kedua-dua tarikh.

"Sama seperti semasa perhimpunan sebelum ini," katanya.

Seksyen 9 (1) PAA mewajibkan penganjur melampirkan salinan kelulusan diperolehi daripada pemilik tempat itu, bersama-sama notis mengadakan himpunan yang dikemukakan kepada pegawai Polis Daerah yang bertanggungjawab, sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) Akta yang sama dengan denda maksimum RM10,000.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah minggu lalu mengumumkan perhimpunan kali kelima gabungan itu sekali lagi akan diadakan di Dataran Merdeka.

Beliau juga mengesahkan peserta akan berarak ke Dataran Merdeka dari dua lokasi iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.

Himpunan BERSIH diteruskan walaupun mendapat ancaman daripada gerakan Baju Merah, yang bukan sahaja mahu berdepan dengan mereka pada 19 November tetapi juga membuat perhimpunan sendiri pada 5 November.

Lihat Komen
ADS