Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rafizi mahu anak-anak Najib bayar sendiri tiket ke Beijing

Rafizi Ramli berkata dua anggota keluarga terdekat Datuk Seri Najib Razak perlu membayar sendiri tiket penerbangan mereka jika mahu mengikuti rombongan perdana menteri mengadakan lawatan rasmi.

Kata anggota parlimen Pandan itu kos pesawat rasmi membawa pemimpin negara dibiayai oleh kerajaan dan tanggungan itu tidak termasuk ahli keluarga mereka.

Di negara lain, kata Rafizi, sekiranya ahli keluarga terdekat pemimpin negara menggunakan jet peribadi, mereka harus membayar sendiri tiket penerbangan mereka.

“Peraturan menaiki jet peribadi di negara lain cukup jelas - ahli keluarga pemimpin tertinggi kerajaan perlu membayar kos sama seperti penerbangan komersial setiap kali menggunakan kemudahan kerajaan. Ini adalah undang-undang universal.

“Jadi Riza Aziz yang bukan daripada kalangan VVIP kerajaan, seharusnya dia tak boleh naik. Mereka kena bayar pada rakyat dan kami nak tahu berapa dia dah bayar, dan saya pasti yang dia tak bayar.

“Saya ingin tuntut Riza Aziz dan Ashman bayar kos sama seperti tiket penerbangan komersial setiap kali mereka naik jet peribadi kerajaan termasuk yang terbaru ke China," katanya di lobi parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi yang juga naib presiden PKR membuat sidang media bagi menyatakan bantahannya terhadap penyertaan anak Najib, Norashman, serta anak tiri beliau Riza Aziz, ke Beijing China.

Najib mengadakan lawatan rasmi selama enam hari ke negara itu sejak kelmarin.

Pesawat membawa Najib dan isteri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 12.30 tengah hari 31 Oktober lalu.

Melalui gambar dimuat naik melalui Twitter rasmi Najib pada detik ketibaan itu salah seorang penumpang yang dilihat turun dari pesawat udara berkenaan ialah Riza.

Mahu tahu terperinci

Juga kelihatan adalah Norashman yang turut berkongsi gambarnya ketika turun dari jet berkenaan di Instagram.

Tweet Najib itu kemudian didapati dipadam.

Riza adalah salah seorang tokoh yang dinamakan pihak berkuasa dalam saman sivil Jabatan Kehakiman AS ke atas 1MDB.

Bagaimanapun pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor berkata penyertaan ahli keluarga dalam lawatan Najib ke Beijing itu bersesuaian dengan budaya kebiasaan masyarakat China dan keinginan kerajaan negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan kekeluargaan.

Kata Rizal Najib biasanya jarang membawa keluarganya menyertai lawatan rasmi ke sesebuah negara asing.

Kata Rafizi tindakan disarankannya itu juga dianggap antara cara termudah untuk kerajaan mendapatkan kembali wang 1MDB didakwa AS digunakan Riza untuk menghasilkan filem The Wolf of Wall Street itu.

Sementara itu Rafizi mendesak supaya kerajaan mengeluarkan syarat penggunaan jet secara terperinci kepada umum.

Beliau mempersoalkan, jika Riza dan Norashman boleh menaiki jet berkenaan, adakah ahli parlimen lain turut boleh menggunakannya.

“Kita nak tahu secara terperinci syarat menaiki jet peribadi yang dibiayai oleh rakyat. Kita nak tahu ada tak keputusan rasmi yang anak tiri dan anak Najib boleh gunakan jet ini.

“Saya tak iktiraf mereka (anak dan anak tiri Najib) sebagai VVIP, kalau ia berlaku sila bawa ke parlimen dan debatkan (sama ada) Riza dan Ashman boleh dianggap VVIP negara.

“Kalau Dr Hatta Ramli (anggota parlimen Kuala Krai) nak balik kawasan esok sebab ada kecemasan, boleh atau tidak dia nak tempah jet peribadi?

"Kalau Riza dan Ashman boleh, kami sudah tentu lebih boleh. Wartawan boleh ke tidak? Speaker boleh ke tidak?” soalnya.

Lihat Komen
ADS