Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata Burma patut memutuskan sama ada ia mahu menerima atau menolak gilirannya untuk menjadi pengerusi Asean pada 2006 berikutan semakin meningkatnya tekanan supaya ia melepaskan jawatan tersebut.

"Kita mahu Yangon membuat keputusannya sendiri mengenai perkara tersebut selepas mengambil kira semua pandangan yang disuarakan," katanya dalam laporan Bernama.

Syed Hamid berkata anggota Asean akan membincangkan isu tersebut dengan Burma sewaktu menghadiri mesyuarat peringkat menteri di Vientiane, Laos, Julai ini.

Katanya, Rangoon sememangnya maklum mengenai pandangan Asean dan masyarakat antarabangsa mengenai isu tersebut.

"Mesyuarat Julai ini akan menjadi satu forum terbaik untuk membincangkan lagi isu tersebut dengan Myanmar (Burma). Saya percayai keadaan akan menjadi lebih jelas di mesyuarat itu nanti," katanya. Malaysia menjadi pengerusi Asean hujung tahun ini.

Ahli Parlimen dari banyak negara anggota Asean telah menggesa kerajaan masing-masing supaya menghalang Burma daripada memegang jawatan tersebut apabila tiba gilirannya tahun depan, kerana keengganan Rangoon melaksanakan amalan dan pembaharuan demokrasi di negara itu.

Wujud batasan

Timbalan Setiausaha Negara Amerika, Robert Zoellick baru-baru ini mengalu-alukan usaha serantau untuk memaksa Burma melakukan pembaharuan, tetapi mengingatkan, akan wujudkan "banyak batasan" dalam hubungan AS-Amerika sekiranya Burma menjadi pengerusi badan itu.

Khamis lalu, Parlimen Eropah menggesa supaya Asean dipulaukan sekiranya Burma mengambil alih jawatan pengerusi badan tersebut tahun depan.

Ahli-ahli Perlimen pula telah menyenaraikan siri pelanggaran hak asasi manusia oleh regim tentera Burma itu, termasuk buruh paksaan, penyeksaan, penganiayaan politik, kanak-kanak dipaksa menyertai tentera dan 'pembunuhan suku kaum).

Bulan lalu, Rangoon menolak gesaan pihak antarabangsa supaya melepaskan gilirannya menjadi presiden Asean kerana pelanggaran hak asasi manusia dan keengganannya memperkenalkan demokrasi.

Asean dianggotai oleh Burma, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapore, Thailand dan Vietnam.

- AFP