Polis hari ini merampas sebuah kereta BMW dan dua motosikal yang didaftarkan di atas nama Datuk S Sanjeevan dalam satu serbuan di rumahnya yang menurut pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) sebagai "taktik membuli".

"Mereka mahu rampas semua kenderaan yang didaftarkan atas nama saya, apabila saya bertanya mengapa, mereka kata saya sedang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

"Mereka mulanya beku akaun peribadi dan syarikat saya selama tiga bulan dan kemudian mereka melanjutkannya selama sembilan bulan lagi.

"Hari ini mereka mengambil kereta dan motor dan saya kini tiada kenderaan untuk digunakan," kata Sanjeevan kepada portal berita Free Malaysia Today dalam satu temu bual video.

Aaktivis itu percaya bahawa ini adalah satu bentuk gangguan, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan jenayah yang didakwa berkaitan pengubahan wang haram dan peras ugut.

"Saya rasa ini adalah salah satu cara bagi mereka untuk membuli pendedah maklumat seperti saya," katanya.

Menurut Sanjeevan, beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis sejak ditangkap dan didakwa dan akan terus berbuat demikian.

[Baca berita penuh]