Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ditauliahkan pada Februari 2004 mengemukakan sebanyak 125 cadangan kepada kerajaan sehingga Mac lalu dalam usaha meningkatkan kredibiliti pasukan polis.

Menurut laporan Bernama , sebahagian daripada cadangan itu dijangka dapat dilaksanakan seawal Jun depan, sebahagian lagi selewat Mei 2010, manakala selebihnya dalam bentuk pelaksanaan berterusan.

Dalam buku laporannya yang mula dijual kepada umum hari ini, antara cadangan-cadangan itu ialah membasmi gejala rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu daripada keutamaan pembaharuannya.

Ia juga mencadangkan agar PDRM turut menjadikan pengurangan jenayah dan pematuhan kepada undang-undang dan hak asasi manusia sebagai sebahagian keutamaan segeranya.

Di samping itu ia juga mencadangkan agar strategi dan langkah menangani masalah dadah disemak semula, manakala langkah memerangi penyalahgunaannya dengan kerjasama agensi lain dipergiatkan.

Dalam laporan edisi bahasa Malaysia setebal 634 mukasurat (576 mukasurat bagi edisi bahasa Inggeris) itu, suruhanjaya itu juga mencadangkan agar PDRM menggunakan lebih banyak bantuan daripada segi saintifik dan teknikal dalam menjalankan siasatan, mewujudkan alasan

munasabah sebelum membuat tangkapan dan menjalankan inkues terhadap semua kes kematian dalam tahanan.

Dua timbalan KPN

Seterusnya, suruhanjaya itu mencadangkan program yang intensif dan berterusan dilancar untuk meningkatkan kesedaran dan rasa hormat terhadap wanita dalam masyarakat, menerimapakai pendekatan pencegahan yang lebih proaktif terhadap keganasan rumahtangga dan mengadakan perbicaraan untuk kanak-kanak di Unit Perlindungan Kanak-kanak.

Suruhanjaya juga mencadangkan agar penyertaan kaum dan jantina dalam PDRM diperluas, elaun khas bagi anggota PDRM yang bertugas di Lembah Klang, Johor Baharu dan bandar utama lain, dua jawatan Timbalan Ketua Polis Negara diwujudkan dan perumahan yang sempurna disediakan bagi anggota.

Sebahagian lagi cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya itu ialah;

* Menerimapakai moto baru PDRM,

* Mengubahsuai misi dan fungsi PDRM,

* Peralihan daripada paradigma "pasukan" kepada paradigma "perkhidmatan",

* Memperkukuhkan kepolisan masyarakat,

* Menjalinkan kerjasama dengan NGO dan pihak swasta,

* Memperuntukkan lebih banyak sumber kepolisan bagi kawalan jenayah,

* Membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan PDRM

* Mempertingkatkan sistem pemberi maklumat,

* Melibatkan pendakwaraya lebih awal dalam siasatan polis.

* Menghubungkan Pengkalan Data Cap Jari Kebangsaan ke PDRM,

* Mengadakan program pendidikan dan latihan untuk menggalakkan budaya

kejujuran dan integriti,

* Penelitian semula dan pengukuhan mekanisme pencegahan rasuah dalam

Bahagian Tatatertib PDRM,

* Penubuhan Unit Pengurusan Audit,

* Menambahbaik dan melaksanakan pengisytiharan harta secara tegas,

* Melancarkan inisiatif pendidikan dan penerangan tentang hak asasi

manusia dalam PDRM,

* Meningkatkan akauntabiliti Cawangan Khas,

* Meningkatkan program latihan PDRM yang mencakupi hak wanita dan

pengurusan suspek dan mangsa wanita,

* Menambah perjawatan di unit PDRM yang menangani siasatan jenayah

yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak,

* Meningkatkan kelayakan masuk untuk Konstabel dan Inspektor,

* Menambahbaik dan meningkatkan bilangan institusi latihan PDRM,

* Menubuhkan Unit Pembangunan Agama di PDRM.

Dalam usahanya untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan Teknologi Maklumat (IT), suruhanjaya itu mencadangkan:

* Memastikan semua balai polis mempunyai komputer,

* Menubuhkan rangkakerja Tadbir Urus IT PDRM,

* Menyusun semula dan meningkatkan keupayaan Bahagian Teknologi Maklumat

PDRM,

* Meningkatkan latihan IT sedia ada.

Selain itu suruhanjaya berkenaan juga mencadangkan pindaan dibuat pada Seksyen 107 (1), 108A dan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), Seksyen 27 Akta Polis 1967, Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan sebahagian Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Seterusnya ia mencadangkan agar Akta Kediaman Terhad 1933 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dimansuhkan.