Kementerian Penerangan telah melonggarkan beberapa syarat penampilan artis, termasuk dari segi pakaian dan berambut panjang, untuk muncul di stesen-stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selagi ia tidak menyumbang kepada keruntuhan nilai moral masyarakat.

Menurut Timbalan Menterinya Datuk Zainuddin Maidin, kelonggaran itu dibenarkan bagi mengekalkan dayasaing RTM.

"Dalam era persaingan stesen penyiaran masa kini, RTM menyedari ia tidak boleh terlalu tegar dalam soal ini dan mula memberikan sedikit kelonggaran," katanya semasa menjawab soalan Datuk Abdul Rashid Ngah pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Menurut Bernama , beliau bagaimanapun berkata, bagi artis berambut panjang, penampilan mereka dibenarkan sekiranya rambut berkenaan diikat rapi dan kemas manakala daripada segi pakaian, sedikit kelonggaran diberikan selagi tidak keterlaluan dan sesuai dengan persembahan.

Zainuddin berkata penampilan artis tidak seharusnya dilihat daripada segi luaran sahaja kerana terdapat juga artis dan penyajak yang berambut panjang tetapi mereka menyampaikan mesej-mesej ketuhanan dan nilai-nilai moral.

Untuk bersikap adil

Selain itu, katanya kementerian juga telah membenarkan artis yang terlibat dengan jenayah untuk muncul di stesen-stesen RTM.

"Kita merasakan adalah tidak adil jika kita tidak menyiarkan lagu-lagu artis yang terlibat dengan dadah contohnya kerana ia juga turut melibatkan pemuzik, pencipta lagu dan penulis lirik," katanya.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini kelonggaran itu hanya diberikan untuk penampilan artis yang tidak bersemuka secara langsung dengan penonton.

Beliau turut menegaskan bahawa RTM masih lagi bertegas dan tidak membenarkan sebarang penampilan keterlaluan sehingga boleh mencemarkan imej dan menjadi punca kepada keruntuhan nilai moral masyarakat khususnya generasi muda.